Ada sesiapa orang Miri, di sini? Tahu apa yang menarik di bandar tersebut, selain terkenal dengan minyak?
Untuk orang Semenanjung, pasti kita akan tertanya bila berkunjung ke Miri. Apa yang menarik di sana? Makanan apa yang sedap? Mahal ke murah? Pantai bersih atau tidak? Serta pelbagai lagi yang musykil di minda.
Pertama kali berkunjung ke Miri atas undangan Marina Parkcity, pandangan pertama ialah orangnya sangat peramah dan berbudi bahasa. Selain orangnya yang baik belaka, apa lagi perkara boleh dilakukan bila datang berkunjung ke Miri.
Berada di sana selama 3 hari 2 malam, penulis syorkan anda lakukan perkara di bawah…
Makan Bubur Pedas
Di Semenanjung memang tiada! Menu ini menjadi kewajipan masyarakat Islam di Sarawak ketika Ramadan, khususnya di Miri. Namanya Bubur Pedas, mempunyai pelbagai campuran sayur-sayuran seperti tauhu kering, cendawan kering, kulat hitam, sayur maidin, butik jagung, kacang panjang dan terung. Selepas itu dicampurkan daging ayam dan lembu, kulit lembu atau udang untuk menjadikan bubur lebih sedap.
Pertama kali mencuba, rasanya agak pedas dan berempah, seperti kuah lontong. Sangat sedap dimakan bersama lemang Sarawak! Lagi yang menarik, kini banyak usahawan wanita di sana yang mula menjual rempah bubur pedas segera dalam harga yang murah. Katanya sekarang bubur pedas tidak hanya terdapat di bazar ramadan tetapi pada bila-bila masa sahaja, tidak kira waktu.
Menari Tarian Buluh
Siapa yang ada bakat terpendam menari, bolehlah tunjuk taring di sini. Pertama kali mencuba Tarian Buluh, memang agak ke laut, bersepah, dan kaki sering salah masuk langkah.
Tarian Buluh atau namanya Magunatip berasal daripada perkataan ‘apit’ yang bermakna jepit. Ia membawa maksud ketika menari kaki penari terjepit atau terapit di antara dua batang kayu (buluh) jikalau tidak cekap mengelakkannya. Kebiasaannya tarian ini tidak memerlukan iringan muzik kerana bunyi buluh yang dilagakan akan menimbulkan bunyi yang kuat serta rentak dan irama yang menarik. Tarian ini bertujuan untuk memeriahkan sesuatu upacara yang diadakan. Tarian Magunatip merupakan sejenis tarian tradisi masyarakat suku kaum Murut dari suku Kuhijau (Kwijau).
Belajar Cara Makan Ulat Sagu
Cara makan Ulat Sagu yang betul adalah dengan mematahkan kepalanya dan dicecah garam untuk memberi sedikit rasa dan membuang rasa jijik bila memakannya. Tapi makan ulat sagu adalah HARAM untuk orang Islam. Jabatan Mufti Negeri Sarawak memberitahu makan ulat sagu adalah haram dan dilarang dalam Islam.
“Apabila kita berpegang kepada hukum dan membuat kajian, ia telah ditetapkan sebagai jenis ulat dan dalam hukum fiqah, semua ulat tidak boleh dimakan kerana dianggap sebagai suatu yang jijik dalam Islam. Namun, ingin ditegaskan bahawa kita bukan menghalang masyarakat bukan Islam untuk memakannya dan kita tidak mengganggu budaya mereka. Kita ada hukum agama masing-masing dan itu yang perlu diambil perhatian,” jelas mereka.
Tengok “Kuda Minum Air” Di Pantai Tusan
Kalau singgah ke Miri, silalah datang berkunjung ke Pantai Tusan. Pantai Tusan, kira-kira 40 kilometer, 30 minit perjalanan dari bandar Miri, sebelum ini hanya popular di kalangan masyarakat tempatan dan peminat fotografi sebagai lokasi terbaik untuk melihat pemandangan indah, landskap unik seperti bentuk dinding bukit batu, matahari terbenam dan juga ‘batu kuda’.
Landskap pantainya cukup cantik terutama ‘batu kuda’ yang menyerupai seekor kuda sedang menghirup air laut. Satu lagi yang banyak diperkatakan ialah fenomena ‘blue tears’ atau air mata biru. Fenomena air mata biru ialah cahaya biru berkilau yang terhasil daripada plankton yang bertindak balas dengan oksigen dalam air laut dan membentuk warna biru terang. Pantai ini bertukar menjadi biru seolah-olah dilimpahi lampu neon.
Cari Port Laksa Sarawak Paling Sedap
Bukan Mi Kolok tapi Laksa Sarawak lebih menyelerakan dan memikat deria rasa penulis. Pertama kali mencuba, Laksa Sarawak ada sedikit rasa pedas, lemak berkrim, rasanya agak susah mahu digambarkan, sesuatu yang baru. Tapi memang sedap dan mengenyangkan jika anda makan dalam satu mangkuk besar biasa.
Apa bezanya dengan Laksa Utara, Johor, Singapore, Laksam? Ramai yang memberitahu, laksa Sarawak mempunyai rasa mee kari. Ini kerana kuahnya memang rasa berkari, boleh letak banyak lauk sama seperti hidangan mee kari. Cuma yang berbezanya laksa Sarawak ini dimakan dengan bihun, bukan mee atau laksa-laksa yang lain.
Miri, Sarawak berdekatan dengan Brunei, jadi sentiasa bawa passport bersama jika secara tiba-tiba kamu ingin memasuki negara Islam itu. Jadi dalam hanya 3 hari 2 malam, anda boleh melakukan aktiviti dan berkunjung ke beberapa tempat menarik tersebut. Serius worth it untuk pertama kali ke Miri!
Happy Travel ❤