“Put on a happy face””
Clown atau Badut. Tidak semua orang menyukainya.
Ramai orang mengalami coulrophobia – ketakutan terhadap badut. Istilah tidak rasmi dalam psikiatri yang diguna pakai untuk menjelaskan fobia terhadap badut. Tapi adakah anda pernah bertanya kenapa ianya berlaku? Secara logiknya, badut hanyalah manusia yang mengenakan pakaian dan bersolek hodoh, namun mereka tetap cenderung memberikan rasa kurang senang dengan kehadirannya.
Jangan ketawa bila individu sebegini rasa takut kerana mereka boleh mengalami hal seperti;
- Kesukaran bernafas
- Denyutan jantung tidak teratur
- Mual
- Ketakutan memuncak
- Panic attack
Untuk itu, pakar psikologi menjelaskan kenapa ramai orang takut dengan badut.
Senyuman Badut Itu Palsu
Ya. Fakta bahawa badut sentiasa tersenyum sememangnya mengarut. Kita sedar secara logik bahawa senyuman merah yang dicat itu palsu, senyuman itu sukar untuk ditafsirkan sama ada ‘individu’ menunjukkan emosi sebenar atau tidak.
Dr. Jordan Gaines Lewis bercakap pada Psychology Today, senyuman palsu membuatkan kebanyakan orang berasa tidak selesa. Katanya lagi wajah badut dilukis tersenyum kerana mahu mengajak kita untuk sama-sama ketawa. Sebagai makhluk sosial, kita membaca isyarat emosi antara satu sama lain untuk berinteraksi semasa sendiri, bergaul, menjadi kawan dan sebagainya. Cuba bayangkan bercakap dengan orang biasa yang tidak pernah berhenti tersenyum, mesti terasa janggal dan kurang selesa.
Badut Menyeramkan
Walaupun kita ketahui mereka dibayar untuk melakukan itu semua tetapi kenapa masih lagi ada rasa takut.
Francis McAndrew dalam jurnalnya New Ideas in Psychology, menyimpulkan bahawa badut benar-benar menyeramkan, dalam erti kata bahawa mereka boleh membuat kita berasa takut dan terancam, sampaikan ada yang melarikan diri apabila melihat badut. Lihat sahaja pada kanak-kanak bila ada badut mendekati mereka walaupun sekadar ingin memberi belon, tetapi si anak kecil terus menangis.
Pengaruh Media
Rasanya di Malaysia, kita masih lagi waras tentang kewujudan badut ini. Tetapi, kini sudah begitu banyak akses terhadap media Barat yang memperlihatkan imej badut yang menyeramkan.
Sebagai contoh, watak The Joker dalam filem Batman contohnya adalah salah satu karakter yang agak popular. Ia bukan saja memainkan watak jahat, tetapi juga seorang yang mengalami kekeliruan emosi. Bahkan juga karakter lain seperti Pennywise dalam filem IT, cukup menggerunkan bukan sahaja kanak-kanak kecil tetapi yang sudah meningkat remaja yang tahu membezakan realiti dan fantasi.
Badut Tidak Lucu
Mungkin selama ini ibu bapa atau orang dewasa mempunyai tanggapan yang salah bahawa kanak-kanak menyukai badut kerana aksi mereka yang melucukan berserta solekan mampu membuatkan si kecil ketawa riang.
Dr Penny Curtis, dalam sebuah artikel berkata, “Sebagai orang dewasa, kita sering membuat tanggapan terhadap apa yang terbaik untuk kanak-kanak. Kami mendapati bahawa badut secara universalnya memang tidak disukai oleh kanak-kanak. Malah, bagi mereka badut adalah amat menakutkan.”
Jadi, adakah anda golongan yang takut dengan badut? Penulis sendiri tidak suka dengan badut kerana setiap kali mereka tersenyum, penulis rasa seperti mereka mengejek dan menjengkelkan.
Wanista akhiri artikel dengan trailer Joker yang bakal ditayangkan pada Oktober 2019.