Makanan

Rahsia & Misteri Di Sebalik Rasa Hanyir Ikan Dalam Teh Hijau

Afiqah Syamin
/
Bukan hipster atau hijabista, cuma seorang gadis yang cintakan tradisi, bersifat feminin dan amat menghargai setiap bait lirik dalam lagu dan muzik ciptaan Coldplay. Fesyen? Sangat obses dengan karya rekaan Teuta Matoshi Duriqi, Oscar de la Renta dan Dolce & Gabbana ❤️
Rahsia & Misteri Di Sebalik Rasa Hanyir Ikan Dalam Teh Hijau

Sekali-sekala makan makanan Jepun memang syok dan minuman yang padan untuk menghadamkan segala makanan tersebut sudah tentulah minuman berupa teh hijau betul tak?

IKLAN

Menurut penulis, teh hijau memang unik kerana memiliki rasa yang tersendiri. Adakalanya pahit, ada juga yang menganggap tekstur minuman matcha umpamanya akan memiliki rasa berkrim. Tak kurang, ada juga berpendapat bahawa teh hijau ini rasa dan berbau seperti hanyir ikan?

Sumber: Pinterest

Oh ya, teringat pula penulis sewaktu makan di Sushi King. Siapa sahaja yang tak tahu akan kewujudan restoran makanan Jepun yang popular ini kan? Antara minuman yang paling mendapat sambutan adalah minuman teh hijaunya yang dihidang sejuk-sejuk. Memang refreshing habis!

Tapi, ada sesuatu yang buat penulis rasa pelik apabila saat pertama kali menjamu minuman teh hijau tersebut dahulu. Memang ya, rasanya seperti ada hanyir ikan! Sedap tapi bau seperti ikan? Biar betul teh hijau ini dicampur ikan? Tetapi apa pula motifnya?

Bagi kamu yang turut tertanya-tanya mengapa teh hijau memiliki rasa hanyir ikan, ini Wanista perjelaskan sebabnya.

Teh Hijau Memiliki Rasa Umami

Selama ini kita cuma didedahkan dengan 4 deria rasa termasuk masam, manis, masin dan pahit. Namun, tahukah kamu sebenarnya manusia memiliki deria rasa kelima yang dikenali sebagai Umami?

Umami bukanlah rasa yang  begitu menonjol namun, ia sebenarnya adalah rasa yang menjadi elemen peneyeimbang kepada sesuatu perasa bagi menguatkan lagi rasa dalam sesuatu makanan atau lauk-pauk itu.

Dalam erti kata lain, Umami adalah sejenis rasa gurih (savoury) yang terkandung dalam mana-mana sumber makanan yang kaya dengan asid amino. Lebih banyak kita menikmati makanan yang tinggi kandungan asid amino, kita sebenarnya mampu merasakan Umami.

Tonton Penjelasan Tentang Rasa Umami

IKLAN

Antara makanan yang tinggi dengan rasa Umami adalah termasuk Tomato, Sos Ikan (dashi), Cendawan, Rumpai Laut, Kicap dan Keju Parmesan. Kalau kamu nak tahu, susu ibu yang diminum oleh bayi serta bahan perasa MSG juga dikatakan memiliki rasa umami! Hmm, patutlah sedap sangat rasanya kan?

Sejarah Penemuan Umami

Pada tahun 1908, Kikunae Ikeda yang merupakan seorang profesor di Universiti Tokyo telah membangunkan sebuah kajian dengan memisahkan kompaun yang diekstrak dari sejenis rumpai laut dipanggil Kombu.

Daripada situ, beliau menemukan bahawa rumpai laut Kombu mengandungi “glutamat” (garam asid glutamat).

Rumpai laut kombu memiliki rasa Umami yang mampu membuatkan apa sahaja masakan atau hidangan Jepun menjadi sedap tak terhingga. Sumber: Rakuten.

Sesungguhnya, kajian ini telah membuktikan bahawa rata-rata hidangan tradisi Jepun termasuk teh hijau memiliki elemen dan cara masakan yang diilhamkan dengan penggunaan komponen Umami seperti menggunakan ramuan kombu dalam masakan-masakan tertentu. Ini adalah untuk menimbulkan rasa keenakan unik yang memberi kenikmatan kepada individu yang memakan atau meminumnya.

Hanya Teh Hijau Berkualiti Memiliki Rasa Umami

Menurut perkongsian sebuah blog, kajian telah membuktikan bahawa teh hijau berkualiti adalah ditentukan oleh kehadiran rasa Umami yang meliputi komponen seperti asid amino, astringen, theanine yang digabung pula dengan rasa pahit dan aroma unik.

Antara jenis-jenis teh hijau yang memiliki rasa dan aroma seperti ikan atau rumpai laut adalah termasuk Sencha, Kabusencha dan Gyakuro.

Sumber: Pinterest

Mulai daripada hari ini, jangan terkejut kalau minuman teh hijau kamu terasa seperti ikan atau memiliki aroma hanyir ikan malah, jangan pula panik kalau-kalau minuman kamu itu telah dicampur dengan ikan sebaliknya, teh hijau berkualiti tinggi sememangnya memiliki rasa umami yang sering dikaitkan dengan hanyir ikan itu. ianya normal dan apa yang penting, rasa umamilah yang emmbuatkan teh hijau itu sdap dan seimbang dari segi rasa pahit dan manis. Sekarang jelas?

Sumber: ResetEra

Semoga ilmu ini bermanfaat untuk dikongsi bersama! ❤️

RUJUKAN 1, 2, 3