Bersempena dengan tayangan olahan filem Disney versi manusia yang terkenal dengan kisah 1001 malam romantis antara Aladdin dan Jasmine, jenama kosmetik terkemuka MAC baru-baru ini mengejutkan peminatnya dengan kolaborasi eksklusif bersama karakter si tuan puteri berbaju biru itu menerusi rangkaian alat solek yang terdiri daripada gincu, palet pembayang mata serta kompak bronzer.
Hal itu diumumkan sendiri oleh pihak MAC Cosmetics menerusi laman Instagram mereka semalam dan ianya mendapat reaksi lebih daripada beratus ribu netizen dengan lebih 143,000 sukaan.
Menerusi kapsyen yang dimuat naik, pihak MAC Cosmetics bakal melancarkan koleksi edisi terhad bersama Aladdin itu sekitar Mei nanti. Setiap satunya dicipta dan diinspirasikan dari sifat keberanian serta keyakinan Puteri Jasmine, di samping meraikan tayangan filem klasik Disney itu yang dijadualkan berlangsung pada 24 Mei.
Lebih menarik, bekas pembungkusan yang digunakan untuk koleksi MAC x Aladdin juga sangat cantik dan bisa dijadikan koleksi peribadi mahupun sebagai bingkisan.
Setiap satunya dihiasi saduran keemasan serta corak cetakan kerawang yang menampilkan elemen timur tengah melihatkan asal filem Aladdin itu sendiri yang berlatarkan kisah dari zaman lampau berlokasi di Baghdad.
Siapa paling teruja dan tak sabar untuk mendapatkan koleksi eksklusif dari MAC x Aladdin ni? ❤️