Cuba menerapkan suasana yang nyaman buat penonton dan para kaki wayang yang gemar berhibur secara harmoni bersama keluarga, jenama panggung wayang terkemuka tanah air Golden Screen Cinemas (GSC) tampil dengan konsep panggung baharu yang turut menyediakan dewan menonton khas yang dilengkapi taman permainan, istimewa buat si kecil yang sering dikaitkan dengan kekacauan di dalam panggung.
Menurut laporan The Star Online, Golden Screen Cinemas (GSC) komited memperkenalkan PlayPlus kepada umum dan panggung wayang mesra kanak-kanak itu kini sudah pun ditempatkan di GSC cawangan IOI Mall.
Antara tarikan dan fasiliti menarik yang ditawarkan menerusi GSC PlayPlus adalah termasuk tempat duduk jenis beanbags, taman permainan mini, hiasan dalaman panggung yang berwarna-warni serta gelongsor.
Tidak ketinggalan, tempat duduk menonton yang berupa sofa untuk memuatkan lebih 4 orang ahli keluarga juga ada ditawarkan menerusi pengenalan dewan menonton PlayPlus ini!
Tonton Pengenalan GSC Playplus
Sementara menunggu sebelum memasuki panggung untuk menonton, ibu bapa sudah boleh melepaskan anak-anak di ruang legar tempat menunggu yang turut ditempatkan taman permainan mini serta pelbagai lagi fasiliti hiburan kanak-kanak untuk menceriakan hari-hari mereka agar tidak terus meragam mahupun buat bising.
Sekarang, dah tak ada masalah anak kecil buat bising sehingga mengganggu ketenteraman awam di dalam panggung wayang! Untuk keterangan lanjut, sila klik [gsc.com.my].