Sebagai seorang bintang Kpop yang sedang mekar mengembangkan sayap hiburan di negara Barat, Tiffany Young kini dilihat sebagai inidvidu yang semakin matang baik dari segi perwatakannya mahupun cara dia menyesuaikan diri di khalayak yang terdiri dari persekitaran serba baharu.
Sakan asyik berbicara dalam tutur Inggeris tanpa pelat dan kejanggalan, baru-baru ini Vougue tampil membuka rahsia solekan susuk wanita jelita berusia 29 tahun yang kian popular dengan lagu berjudul “Born Again” dan “Lips to Lips” itu.
Menurut penelitian Wanista, Tiffany Young sememangnya masih mengamalkan gaya solekan ala Korea namun, dari segi pemilihan barangan kosmetiknya, rata-rata elemen kecil yang dimanfaatkan adalah berasaskan jenama kosmetik Jepun. Jom lihat cara Tiffany Young bersolek dan alat solekan apa yang digunakan bekas ahli kumpulan SNSD ini secara spesifik.
#1 Mulakan Dengan Masker, Toner & Serum Mata
Biarpun dilahirkan di California, sebagai bekas bintang Kpop, Tiffany masih menuruti asas kecantikan K-Beauty yang memulakan rejim kecantikan dengan pemakaian masker mewah, sebelum menyapu toner dan serum mata dari Innisfree!
#2 Campuran Primer
Untuk mengekalkan ketahanan mekap yang disapu ke wajah, Tiffany memilih primer unik yang berasaskan minyak dari jenama Etude House.
#3 Bedak Asas & Pelembap Bibir
Tiffany Young bijak melembabkan bibir dengan pelembap bibir terlebih dahulu agar bentuk bibirnya terlihat lebih mungil sebelum beralih ke olesan gincu manakala sapuan bedak asasnya dimanfaatkan dengan penggunaan berus yang digabungkan dengan span beauty blender agar mendapat efek kulit sekata.
#4 Concealer & Bedak Harum
Biarpun kulit wajahnya sudah terlihat cerah seolah tiada langsung bayangan lingkaran gelap pada keliling mata, Tiffany masih menggunakan concealer gah dari jenama Charlotte Tilbury serta bedak kompak beraroma dari IPKIN.
#5 Tiga Produk Hanya Untuk Kening!
Tidak seperti kebanyakan wanita yang lebih gemar menggunakan produk jenis serbuk atau gel untuk mewarnakan kening, Tiffany lebih selesa merapikan kening dengan pensil. Tiga jenis produk kening digunakan dan semuanya memiliki rona gelap kecoklatan untuk penampilan natural.
Jelas Tiffany lagi, dia tidak begitu menggemari bentuk kening yang terlalu lurus ala K-Beauty dan tidak juga meminati kening yang tajam bersudut. Tiffany lebih suka jika bentuk keningnya sedikit melengkung dan membulat.
#6 Pembayang Mata Coklat
Selain menggunakan pembayang mata rona coklat untuk menghiasi kelopak matanya, Tiffany juga menitipkan cara bagaimana dia membuat lukisan eyeliner menggunakan serbuk pembayang mata yang lebih gelap menggunakan berus bermata tirus jenis “angled brush”.
#7 Pemerah Pipi & Highlighter
Menurut Tiffany, beliau menggunakan campuran antara dua pemerah pipi untuk menampakkan ilusi wajah lebih kecil melihatkan dirinya memiliki rahang wajah yang agak panjang. Untuk itu, beliau sengaja menggunakan pemerah pipi yang berwarna sedikit terang bagi menangkap pandangan mata orang untuk fokus pada satu kawasan di wajah.
Untuk penggunaan highlighter pula, Tiffany menyapu ringan serbuk highlighter pada bahagian tulang hidung, tengah dahi dan sedikit pada garisan bibir atas.
#8 Tiga Jenis Maskara!
Nampak macam mudah nak buat solekan mata natural ala Tiffany Young ni, tapi rupanya sampai kena guna tiga jenis maskara! Paling penting, beliau sentiasa mengetip bulu matanya terlebih dahulu menggunakan curler sebelum mula menyapu cceair maskara.
#9 Gincu Nada Ungu
Akhir sekali, bibir yang sudah sedia dilembap awal tadi dioles pula dengan gincu berona keunguan ini. Teknik sapuannya juga berbeza kerana Tiffany cuma menekap berus gincu tersebut pada bahagian tengah bibir sebelah dalam, sebelum menekap pada keseluruhan inci bibir menggunakan jari agar nampak natural.
Nampaknya, rata-rata produk kosmetik yang digunakan Tiffany Young menerusi tutorial rejim kecantikannya berasal dari Korea dan Jepun!
Tonton Tutorial Solekan Tiffany Young
Gah tak cara Tiffany Young bersolek? Apa-apa pun gaya solekannya masih natural dengan lukisan garisan mata yang tidak keterlaluan seperti kebanyakan bintang Kpop yang lain kan? Mungkin kamu boleh memanfaatkannya sebagai solekan harian yang ringkas.
Selamat beramal! ❤️