Sebagai ikon dan merupakan model permainan kanak-kanak paling popular, Mattel nampaknya telah berjaya memberi kenikmatan berganda untuk anak kecil mencipta memori di samping menyimpan impian besar menjadi seorang wanita cantik dan berkerjaya seperti Barbie.
Pendek kata, Barbie boleh diibaratkan sebagai contoh terbaik yang boleh diagungkan kanak-kanak -membuka gerbang kebebasan buat semua anak kecil menjadi individu yang lebih berkeyakinan serta menjadi diri sendiri.
Namun disebalik semua impak positif itu, banyak juga kontroversi pahit yang pernah dikaitkan dengan Barbie. Bukan sekadar anak patung biasa, ini sebahagian kisah menyeluruh mengenai Barbie.
#1 Barbie Dicipta Oleh Jurutera Peluru Berpandu?
Meskipun Ruth Handler (Pengasas Mattel) yang terdahulu memiliki idea untuk mencipta patung Barbie -diinspirasikan dari patung Bild Lilli… ada dua orang lagi individu bertanggungjawab dalam mereka bentuk patung Barbie tersebut. Salah seorangnya adalah Jack Ryan.
Sebelum melibatkan diri dalam syarikat pengeluar permainan, Mattel, Jack Ryan asalnya merupakan seorang jurutera yang pernah menghasilkan peluru berpandu untuk Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat, The Pentagon!
#2 Asalnya Karakter Pelacur German
Diberi nama “Bild Lilli”, siapa tahu bahawa patung Barbie yang menjadi permainan kegemaran kanak-kanak perempuan itu pada asalnya cumalah karakter pelacur German dalam sebuah lampiran komik, popular sekitar era 50-an.
Bild Lilli kemudian dijadikan dalam bentuk patung dan dijual sebagai objek yang menjadi simbol seks di kedai-kedai orang dewasa sekitar German termasuklah kedai rokok dan gedung yang menjual permainan seks.
Beberapa tahun kemudian barulah Pengasas Mattel, Ruth dan Elliot Handler membeli dan mendapatkan hak pemilikan reka bentuk Bild Lilli sepenuhnya sebelum menjenamakannya semula kepada Barbie.
#3 Barbie Miliki Berbillion Pakaian!
Menurut sebuah laporan, sejak Barbie mula dikomersialkan pada tahun 1959, sehingga kini anak patung itu sudah memiliki lebih 1 billion helai koleksi pakaian! Ini seterusnya menjadikan Barbie salah seorang ikon fesyen yang tersohor meskipun dia cumalah patung mainan.
#4 Barbie Ikon Wanita Berkerjaya
Selari dengan tagline “You Can Be Everything” untuk memberi inspirasi kepada golongan kanak-kanak menceburi bidang kegemaran mereka sekaligus menjadi diri mereka sendiri, Barbie sehingga kini memiliki lebih 200 perkerjaan! Dari seorang juruterbang, doktor, pramugari, jururawat, aktres, bintang rock, angkasawan hinggalah kepada pereka fesyen, pemain tennis, penari balet dan banyak lagi.
#5 Mula Pakai Kasut Rendah Pada 2015
Sejak model pertamanya dilancar, rekaan patung Barbie hadir dengan keadaan bentuk kaki yang menumit. Ini supaya memudahkan si pemain menyarungkan rekaan kasut tumit tinggi pada patung tersebut. Namun sejak 2015, pihak Mattel telah merubah bentuk kaki Barbie agar boleh dilaras dan kemudian diiringi dengan keluaran rekaan kasut Barbie jenis flats.
#6 Barbie & Ken Adalah Adik-Beradik?
Menurut sumber, Barbie mendapat namanya setelah ia dinamakan bersempena nama anak perempuan kepada pengasas Mattel (Ruth dan Elliot Handler) iaitu Barbara. Manakala, Ken yang dikenali sebagai teman lelaki Barbie itu pula mendapat namanya menerusi nama adik lelaki Barbara iaitu, Kenneth.
Umumnya, Barbie dan Ken ini adalah adik beradik dalam dunia sebenar namun, secara fantasinya, mereka adalah pasangan bercinta.
#7 Pemilik Model Pertama Barbie Boleh Kaya!
Hobi menyimpan barangan antik adakalanya boleh mendatangkan pendapatan seperti mana-mana pemilik model Barbie yang pertama ini. Harga asal Barbie era 50-an dahulu cuma sekitar RM13 seunit. Namun, jika kamu memiliki anak patung model asal ini sekarang, nilainya mampu melonjak beratus ribu kali ganda kerana harganya kini bisa mencecah, RM112,201 seunit!
#8 Hello Barbie Jadi Medium Perisikan?
Pada tahun 2015, Barbie mengeluarkan model edisi “Hello Barbie” yang kebolehannya mampu berkomunikasi dengan pemain. Patung tersebut telah ditanam dengan program (mirip teknologi Apple siri) yang bukan sahaja boleh berkata-kata sekaligus mampu membalas pertanyaan pemain menerusi sambungan WiFi.
Tonton Kebolehan Hello Barbie Berkomunikasi
Walau bagaimanapun, rahsia akhirnya terbongkar apabila segala informasi dan percakapan kanak-kanak sebenarnya dirakam lalu dijual dan dihantar ke pihak ketiga, ToyTalk. Seram!
Penulis sendiri pun memiliki banyak anak patung Barbie sewaktu kecil dahulu. Perempuan mana yang tak sukakan anak patung betul tak? Namun adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa memantau pergerakan anak-anak mereka. Baik atau buruk sesebuah inovasi itu, pengguna haruslah tetap bijak membuat pilihan meskipun inovasi itu dikira pintar dan hebat.
Selamat beramal! ❤️