Review - Makanan

[Review] Sampai Pejam Mata Makan Daging Wagyu! Yang Terbaik Di Nobu KL

Afiqah Syamin
/
Bukan hipster atau hijabista, cuma seorang gadis yang cintakan tradisi, bersifat feminin dan amat menghargai setiap bait lirik dalam lagu dan muzik ciptaan Coldplay. Fesyen? Sangat obses dengan karya rekaan Teuta Matoshi Duriqi, Oscar de la Renta dan Dolce & Gabbana ❤️
[Review] Sampai Pejam Mata Makan Daging Wagyu! Yang Terbaik Di Nobu KL

Ramai gemar makanan jepun kerana sumber makanannya segar dan adalah berlandaskan teknik masakan yang sihat termasuklah dengan cara mengril, menyalai atau sekadar dicelur dan direbus.

Namun, ada juga yang elak mencuba menu-menu hidangan jepun kerana menganggap makanan laut itu membosankan malah, tidak kena dengan tekak orang Melayu kerana kita rata-ratanya lebih sukakan makanan bergoreng (dimasak sempurna) betul tak? Tak kurang, ada individu yang muak jika terpaksa memakan ikan yang dihadang mentah cara sashimi umpamanya.

Persekitaran NOBU KL yang terletak di tingkat 56, bangunan Menara 3 Petronas.

Begitulah tanggapan penulis pada awalnya sebaik menerima undangan ke Nobu KL untuk merasa sendiri beberapa menu terbaharu mereka yang dihidang dalam koleksi menu “World of Nobu Omakase”.

Sebagai seorang gadis yang boleh dikatakan separa “vegetarian”. Penulis sebenarnya bukanlah pemakan ikan. Jika ada pilihan lauk antara sayur dan makanan laut, sebolehnya penulis akan elak memakan makanan laut kerana bagi penulis, ikan terutamanya memiliki bau hanyir yang membuatkan tekak penulis loya. 

Gambar hiasan. Sumber: Live Japan

Nah, persepsi penulis seraya bertukar bila menyertai kemeriahan pengenalan menu “World of Nobu Omakase” minggu lalu. Untuk pengetahuan semua, ia terdiri daripada 7 hidangan berbeza yang setiap satunya disunting dari resepi eksklusif ciptaan chef dari enam (5) lagi cawangan Nobu di seluruh dunia. Ini adalah bersempena pelancaran buku koleksi resepi milik pengasas dan chef terkemuka Nobu sendiri iaitu Nobu Matsuhisa.

Menu #1

Sebagai pembuka selera, kepingan ikan dari jenis Alfonsino (Kinmedai) ini dihidang bersama sos pedas. Namun kepedasannya lebih unik kerana penulis dapat rasakan ianya lebih bertekstur krim masin. Jangan terkejut, kepingan ikan umpama sashimi itu juga langsung tak hanyir! Sumpah, penulis boleh kunyah dan telan begitu sahaja tanpa berasa loya meskipun ikan adalah mentah. Bijak sungguh cara chef menyediakan hidangan ni.

Kin Medai Bagna Cauda oleh Chef Toshiyuki Shiramizu, Nobu Malibu

Menu #2

Beralih kepada hidangan klise yang telah diolah supaya dapat dinikmati secara berkelas. Sushi yang dihimpun dalam menu Omakase kali ini ditempatkan dalam cawan-cawan comel. Sedikit sukar untuk mengorek isi sushi dan memakannya dengan penyepit. Tetapi percayalah, sushi yang ada butiran telur ikan salmon itu paling sedap! Telur ikannya besar dan rasa masinnya begitu unik. Bila digigit terus meletus dalam mulut.

Sushi Cup Selection oleh Chef Chico Dator, Nobu KL

Menu #3

Oh! Hidangan ini paling favorite! Cebisan udang kara sangat manis dan segar manakala salad daun kale yang diramu dengan hirisan tauhu kering garing berserta bijirin Quinoa seraya buat penulis kenyang. Sedap tak terhingga dan paling unik, tekstur daun kale sangat ranggup umpama dibakar garing.

Lobster and Kale Quinoa Salsa oleh Chef Andrew Bozoki, Nobu Doha

Menu #4

Lain daripada yang lain. Ini kali pertama penulis cuba makanan yang disira dengan kuah buah bit. Warnanya begitu kemerahan tetapi rasanya langsung tidak seperti dari ramuan sayuran. Kepingan kekapis yang disusun atas jeruk fennel pula begitu kenyal dan manis, dimasak sangat sempurna. Aroma “smokey” yang terhasil dari kekapis sekaligus buat ramai yang terliur!

Nantucket Scallop Picked Fennel oleh Chef Taku Sato, Nobbu Fifty Seven

Menu #5

Percaya atau tak, meja makan penulis waktu tu terus senyap sebaik menerima hidangan daging wagyu separa sempurna ini. Masuk sahaja ke mulut dan mula mengunyah, rasa kulit daging begitu garing -cukup masin, cukup rasa. Manakala isinya yang terdiri daripada lemak-lembak lembut lembu Wagyu itu pula terus mencair di dalam mulut seperti lelehan mentega panas. Magic! Memang rasa nak menangis sebab sedap tak terhingga!

Wagyu Beef with Con Hierbas oleh Chef Eleni manousou, Nobu Marbella

Menu #6

Apa rasa bila mee yang dimakan itu berkuahkan kuah berperisa yang bersuhu sejuk. ENAK! Ditabur pula dengan kaviar telur ikan serta emping ikan bilis yang digoreng garing. Rasa macam tak cukup semangkuk! Kalau kamu penggemar ikan, mee sejuk ini pasti menjadi kegilaan kamu tau?!

Cold Inaniwa Chuka with Caviar oleh Chef Philip Leong, Nobu KL

Menu #7

Akhir sekali, kami dihidang dengan pemanis mulut berupa kek sakura yang didampingi sorbet ceri. Rasa keknya begitu manis dan lembut, dimakan pula dengan sedikit perisa teh hijau dan rasa masam-masam dari sorbet sejuk buah ceri. Ini memang manisan terbaik yang penulis pernah rasa!

Sakura-Saku oleh Chef Kei Hasegawa, Matsuhisa Beverly Hills

Bagi yang berminat mencuba sendiri hidangan jepun bertaraf lima bintang ini, menu “World of Nobu Omakase” boleh dinikmati sepanjang bulan ini dari 1 hingga 31 Mac pada harga RM600 seorang.

Alamat: Aras 56, Menara 3 Petronas, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Nombor Tel: 03-2164 5084

Sebarang tempahan boleh dibuat [DI SINI] dan untuk keterangan lanjut, sila klik [facebook.com/nobukl].

BACA  Nikmati Dim Sum Sedap Di Restoran Tao Chinese Cuisine InterContinental KL!