Masalah timbul bila ada tetamu yang datang ke rumah di saat-saat akhir. Pening juga dibuatnya bila memikirkan menu mudah apa yang boleh dihidang dalam waktu singkat.
Ramai orang kita suka masak hidangan yang leceh dan mengambil waktu untuk dimasak, ditambah pula dengan bahan-bahannya yang sukar untuk disediakan. Untuk itu, guna sahaja konsep hidangan parti ala orang barat!
Tahukah kamu menikmati kerepek umpama nachos sebenarnya boleh buat perut kenyang? Ianya juga sesuai buat individu yang sedang berdiet. Ini kerana kerepek nachos sebenarnya dibuat daripada kepingan roti tortilla yang dipotong bentuk segi tiga sebelum dibakar hingga garing.
Acap kali kita melihat hidangan ringkas sebegini dihidang kala acara-acara keraian seperti parti atau majlis-majlis sambutan bersama teman di rumah… dan untuk memudahkan kamu, ini Wanista kongsikan resipinya. Tak sampai 30 minit pun dan boleh siap! Jom cuba.
Bahan:
- Satu pek kerepek nachos/tortilla chips jenama MISSION (cukup untuk 4 orang makan)
- 1 tin sup tomato Campbell’s
- 1 paket daging lembu kisar Ramly
- 1 biji bawang Holland (dipotong dadu)
- Minyak zaitun untuk menggoreng
- Serbuk “Italian Herbs” atau Italian Seasoning
- Hirisan keju
- Serbuk lada hitam
- Garam dan gula secukup rasa
Cara:
1. Panaskan ketuhar pada suhu 150ºC – 200ºC.
2. Dalam kuali, panaskan sedikit minyak zaitun. Guna api perlahan untuk mula menggoreng daging kisar.
3. Goreng daging sehingga kering lalu masukan bawang yang siap didadu. Gaul sebati.
4. Bila bawang sudah mulai layu, tabur sedikit gula, garam, serbuk lada hitam dan “Italian herbs” sebagai perasa dan gaul lagi sehingga daging betul-betul masak.
5. Masukkan suku tin pes sup tomato ke dalam gorengan daging dan gaul sebati. Kalau suka rasa masam tomato boleh tambah lagi sedikit. Jangan terlalu banyak takut daging lambat kering.
6. Biar seketika di atas api supaya daging bisa masak dan menyerap pes sup tomato. Alihkan.
7. Tabur kerepek secara berselerak di atas dulang ketuhar. Letakkan gorengan daging di atas kerepek nachos secara menyeluruh kemudian, taburkan keju.
8. Bakar selama 20 minit hingga keju mencair. Siap!
Kalau nak lagi sedap, boleh dadu tomato dan buah avakodao -tabur di atas nachos. Tak perlu lagi ke restoran Mexico atau ke kafe-kafe mewah untuk makan nachos berdaging macam ni!
Selamat mencuba! ❤️