Genius atau tidak rekaan Louis Viutton yang terkini ini? Apakah ada individu yang kemaruk mahu mendapatkan bekas pensil yang diperbuat daripada material kulit asli lembu semewah ini? Rata-ratanya menganggap, ianya adalah objek paling tidak munasabah untuk dijual semahal RM4,000 seunit.
Menurut laporan laman Hypebeast.com, Louis Vuitton baru-baru ini tampil dengan keluaran baharunya yang berupa set pensil warna dan apa yang menarik, set alat tulis mewah itu akan hadir dalam sebuah bekas pensil unik yang berupa beg gulung bahkan, ia diperbuat daripada maetrial kulit lembu asli -diccetak dengan monogram ikonik LV.
Dalam pada itu, set pensil warnanya juga adalah menyeluruh di mana ia menawarkan lebih 40 batang pensil mewarna yang terdiri daripada pelbagai palet dan rona pilihan. Pasti ideal buat mereka yang sememangnya gemar melakar mahupun menghasilkan karya seni seperti lukisan.
Sebagai perhiasan pula, bekas pensil tersebut turut dilengkapi cincin logam emas khas yang dilekap pada penghujung beg gulungan -berfungsi sebagai kancing yang kemudian boleh diikat kemas dengan tali kulit pada beg.
Lebih sensasi apabila ia dilihat dari bahagian luar, kedudukan pensil mengikut warna turut dilabel dalam bentuk ikon bulatan. Ini pasti memudahkan si pemiliknya untuk menyusun kembali pensil warna pada kedudukan asalnya. Ada yang teringin untuk menjadikannya sebagai koleksi peribadi?
Dengar cerita set pensil warna Louis Vuitton ini akan dipasarkan April nanti pada harga sekitar RM4,000 seunit.
Sebelum ini, Louis Vuitton memang sering dijadikan inspirasi untuk rekaan barangan unik termasuklah tandas, set drum, plastik sampah serta mesin lempeng waffle.