Siapa di antara pembaca Wanista yang masih belum menindik telinga?
Bagi wanita tindik pada telinga merupakan cara menghias diri yang mereka gemari. Bayangkan subang mutiara atau anting-anting berbulu pelepah menghiasi ruang telinga menjadikan penampilan seseorang bertambah menawan sekali. Walaupun hasilnya kelihatan menawan, bahagian badan yang bertindik memerlukan penjagan rapi bagi memastikan tiada kesan sampingan yang tidak dikehendaki.
Lagi, ada daripada kita yang sudah menindik telinga sedari kecil dan ada pula memilih di usia remaja. Lazimnya, ibu bapa akan menindik telinga anak mereka seawal usia mereka lagi. Namun begitu, ramai yang tidak tahu akan pelbagai risiko terhadap kesan tindikan ini.
Pilih Teknik Bertindik
Pakar menjelaskan memilih teknik bertindik menggunakan jarum lebih baik berbanding menggunakan penembak. Kenapa? Penembak membentuk lubang melalui tekanan, yang menyebabkan kecederaan yang tidak perlu pada tisu. Selain itu, mesin ini sukar dipastikan steril kerana mempunyai bahagian plastik.
Tapi bukankah menggunakan jarum sakit? Ya, cumanya dengan jarum, anda mempunyai lebih banyak kawalan untuk ketepatan. Ia berfungsi seperti pisau bedah, membuat potongan kecil ke dalam tisu, meninggalkan kecederaan yang minimum pada kawasan yang ditindik. Lagi satu, jika tindikan jarum dilakukan dengan betul, kesakitan adalah sangat sedikit.
Tahap kesakitan di saat tindik setiap orang berbeza-beza. Sekiranya anda dan rakan tindik di tempat yang sama, anda mungkin mengalami tahap kesakita yang berbeza. Mungkin rakan anda merasakan kesakitan yang melampau sehingga berdenyut manakala anda pula sekadar sakit cubitan. Yang penting anda bersedia fizikal dan mental untuk menerima kesakitan yang datang.
Penjagaan Rapi Setelah Tindik
Untuk menjaga bahagian yang baru ditindik, bersihkan dengan sabun dan air atau larutan garam – bukannya dengan alkohol, dua kali sehari. Alkohol mengeringkan kawasan yang ditindik. Jika ia terlalu kering, kulit akan merekah dan berdarah, menyebabkan luka kekal terbuka. Sabun berasaskan minyak lebih sesuai untuk tujuan pembersihan. Selain membersihkan luka, ia juga menyediakan minyak untuk melembutkan tisu yang sedang sembuh.
Tindik pada tisu rawan seperti bahagian tepi cuping telinga memerlukan penjagaan tambahan berbanding menindik tisu lembut pada bahagian bawah cuping telinga. Bahagian bawah atau lobul telinga hanya mengandungi lemak antara dua lapisan.
Manakala bahagian tepi atau pinna telinga mengandungi tulang rawan yang membentuk cuping telinga. Tulang rawan lebih sensitif semasa proses penyembuhan. Ia mengambil lebih banyak masa dan penjagaan tambahan diperlukan untuk sembuh sepenuhnya.
Lagi satu perlu diingatkan, sekiranya tindikan menyakitkan anda, jangan panik. Tanda merah, bengkak, rasa panas, cecair yang keluar mungkin hanya menunjukkan keradangan bukannya jangkitan. Pun begitu, jika keadaan semakin teruk, sila dapatkan rawatan.
Pantang Larang Tindik Telinga
Sebaiknya anda perlu makan terlebih dahulu. Hal ini kerana ia akan membantu mengekalkan gula dalam darah. Kandungan gula yang rendah dalam darah boleh membuatkan anda berasa pening aau bahkan pengsan ketika tindik.
Elakkan berenang sejurus selepas tindik telinga. Keadaan ini boleh mendedahkan luka kepada bakteria berbahaya. Walaubagaimanapun, jika anda benar-benar nekad, anda boleh melindungi telinga dengan menggunakan pembalut luka kalis air.
Pakar menjelaskan wanita yang baru melahirkan atau hamil seeloknya menunggu selama tiga bulan sebelum tindik. Ini adalah untuk membolehkan badan normal dan keseimbangan hormon dipulihkan sebelum trauma fizikal menindik.
Tindik Telinga Si Kecil : Selamat @ Tidak?
Menindik telinga anak ketika masih bayi akan menyebabkan mereka lebih mudah mendapat infeksi. Ini kerana mereka masih belum mempunyai sistem imuniti yang kuat. Disarankan untuk menunggu sehingga anak anda berumur sekurang-kurangnya 10 tahun. Ini kerana ketika ini mereka sudah boleh berfikir dengan bijak dan mampu menjaga kesihatan telinga.
Risiko Tindik Telinga Bayi
Prosedur menindik telinga ini dilakukan dengan mencucuk jarum sepanjang 12 hingga 18 cm ke dalam cuping telinga bagi menebuk lubang padanya. Usai lubang ditebuk, sepasang subang akan dimasukkan ke dalamnya. Perlu diberi perhatian adalah kesan daripada ini akan menyebabkan koyakan pada bahagian cuping telinga. Koyakan ini akan menyebabkan:
- Luka dan pendarahan
- Pembengkakan
- Kegatalan
- Reaksi alahan terhadap jarum atau anting-anting yang menyentuh kulit
- Mendapat infeksi kuman seperti nanah
- Membentuk parut atau keloids
Walaubagaimanapun, jika risiko terlihat semakin teruk, segera bawa si kecil berjumpa doktor. Doktor mungkin akan memberi antibiotik. Jika terdapat sebarang reaksi, doktor akan menanggalkan anting-anting pada cuping telinga anak dan anda perlu tunggu sekurang-kurangnya 6 bulan sebelum memasangkannya kembali.
Jadi, pastikan anda betul-betul ready bila tiba masa nak tindik.
Semoga semuanya baik-baik!