Seumur hidup, ini buat pertama kali penulis melihat kereta api yang dipenuhi bukan dengan tempat duduk selesa bagi para penumpang tetapi rentetan katil sekaligus menawarkan tilam empuk bagi yang mahu melelapkan mata secara mewah dalam pengangkutan awam kereta api.
Hanya di Jepun, kereta api yang diberi nama “Sunrise Exprese” ini adalah kereta api awam khas yang menawarkan servis bagi penumpang yang mahu berehat sakan. Popularitinya mula mencanak sekitar 70-an dan sehingga kini ianya masih mendapat tempat di hati para pengguna, lebih-lebih lagi buat individu yang membeli tiket destinasi jauh. Jelas sumber, ia merupakan alternatif lain yang lebih gah daripada mengambil bas malam.
Namun begitu dengan perubahan dunia moden yang semakin ketara, tinggal cuma lagi dua Kereta Api Tidur yang beroperasi dan ia adalah Sunrise Seto dan Sunrise Izumo. Jika ada antara kamu yang merancang percutian jangka panjang di Jepun dalam masa terdekat ini, kamu mungkin boleh mencuba servis Kereta Api Tidur 14 gerabak ini yang membawa penumpang ke stesen-stesen diantara Tokyo ke Okayama.
Untuk pengetahuan semua, kedua-dua kereta api tidur ini pada asalnya adalah kereta api berasingan yang amsing-masing bergerak dari lokasi tetap iaitu satu di Takamatsu dan satu lagi di Izumo.
Namun apabila sampai di Okayama, ianya akan dicantum menjadi sebuah gerabak sepanjang 14 gerabak dan meneruskan perjalanan ke Tokyo. Begitu juga perjalanan ulang-aliknya yang kemudian akan kembali berpisah ke destinasi asal sebaik tiba di Okayama kembali.
Antara kemudahan lain yang turut disediakan Kereta Api Tidur adalah bilik mandi, ruangan bersantai dan mesin menjual snek layan diri.
Setiap pembelian token untuk menggunakan bilik mandi pula adalah terhada hanya kepada 6 minit sahaja setiap seorang. Ini bagi memastikan supaya semua penumpang boleh mandi tanpa perlu beratur panjang atau bersesak-sesak.
Ikuti Perjalanan Vlogger Menaiki Sunrise Express
Jangan khuatir kerana bagi yang berkemampuan dan mahukan lebih keterujaan saat menaiki Kereta Api Tidur, boleh cuba servis train mewah Twilight Express Mizukaze seperti di bawah. Khabarnya, setiap perjalanan bisa menjangkau lebih berpuluh ribu ringgit kerana kereta api dilengkapi bilik tidur seperti hotel, menu yang dimasak chef bertaraf Michelin Star, tempat api (fireplace), pemantauan pengawal dari masa ke masa, anjung tinjau panorama dari tingkap kereta api dan banyak lagi!
Nampaknya ramai yang kagum. Korang bila lagi hendak mencuba servis-servis Kereta Api Tidur di Jepun ni?