Siapa yang pernah mengalami pertumbuhan gigi bongsu, pasti ketahui betapa sakitnya bila ia menyerang.
Terfikir juga adalah semua orang akan mengalami pertumbuhan gigi bongsu? Kamu rasa?
Apa Itu Gigi Bongsu?
Baiklah gigi bongsu atau turut dikenali sebagai gigi geraham ketiga adalah gigi yang terletak di rahang atas dan bawah, yang muncul paling akhir. Proses pembentukan benih gigi bongsu bermula sebelum usia 12 tahun dan berakhir pada usia sekitar 25 tahun. Gigi bongsu inilah yang biasanya muncul terakhir, berbanding gigi-gigi yang lain. Waktu kemunculannya ini menyebabkan gigi ini juga dikenal dengan sebutan wisdom teeth.
Adakah Semua Orang Mengalaminya?
Sebenarnya tidak semua orang menyedari kewujudan gigi bongsu, kerana hanya beberapa orang yang berasa sakit sewaktu gigi ini muncul. Gangguan kemunculan gigi (impacted tooth) sebenarnya boleh terjadi juga pada gigi-gigi lain, namun paling kerap berlaku pada gigi bongsu. Beberapa kajian bahkan mendapati bahawa 9 daripada 10 orang mengalami gigi bongsu terimpak.
Umumnya, pada usia tersebut, pertumbuhan rahang telah selesai, sehingga tiada ruang yang mencukupi untuk gigi bongsu. Akibatnya pertumbuhan gigi bongsu kurang sempurna, disamping kedudukan atau arah yang salah. Keadaan inilah yang kemudiannya menyebabkan timbul rasa sakit sewaktu munculnya gigi bongsu.
Jika gigi bongsu tumbuh secara normal ke dalam rongga mulut tanpa halangan atau benih gigi terbentuk dalam posisi yang baik serta lengkung rahang cukup untuk menampung gigi bongsu, gigi bongsu sebenarnya sangat membantu dan tidak akan menimbulkan rasa sakit sama sekali. Terutamanya untuk mengoyak dan mengunyah makanan yang keras.
Cara Cegah Sakit
Seeloknya anda merujuk dengan doktor gigi sebelum waktu kemunculannya.Doktor anda mungkin akan melakukan pemeriksaan berkala untuk menilai kedudukan dan pertumbuhan gigi bongsu anda sehingga tindakan segera boleh dilakukan sebelum menjadi lebih teruk.
Hal ini dapat dilakukan untuk mengurangkan rasa sakit yang akan dirasakan bila gigi bongsu anda didapati harus dicabut beberapa tahun setelahnya. Mencabut gigi lebih mudah dilakukan pada usia remaja berbanding setelah dewasa. Tambahan pula, masa penyembuhan sewaktu dewasa lebih lama berbanding sewaktu masih remaja.
Kesimpulan, gigi bongsu yang mengalami gangguan dan kedudukan salah boleh menimbulkan rasa sakit. Untuk itu, kamu dinasihati mencabutnya, bila gigi bongsu yang bermasalah tersebut tidak ditangani dengan baik, akan timbul komplikasi lain yang serius, seperti jangkitan hingga terbentuknya nanah.