Jika kamu penggemar makanan Jepun, pasti mengetahui “NATTO”? Natto makanan tradisional Jepun yang boleh dianggap pelik, jijik tapi sesungguhnya kaya dengan khasiat tersembunyi. Orang Jepun kata sekali dah makan natto, confirm akan ketagih dan nak lagi.
Tapi kenapa tiba-tiba penulis bercakap tentang Natto? Semuanya selepas menonton filem Jepun Little Forest: Winter & Spring menjadikan penulis ingin tahu lebih lanjut perihal makanan Jepun yang satu ini.
Nak tahu, teruskan bacaan…
Apa itu Natto?
Natto adalah sejenis makanan tradisi masyarakat Jepun. Ia dihasilkan melalui proses pemeraman kacang soya sehingga terhasilnya sejenis bakteria yang dikenali sebagai Bacillus Subtilis. Bacillus Subtilis adalah sejenis bakteria baik yang amat berguna untuk kesihatan usus kita.
Makanan unik ini amat popular dikalangan penduduk di bahagian timur kepulauan Jepun terutama sekali di rantau Kanto, Tohoku dan Hokkaido. Namun baunya yang kuat kerana diperam, rasanya yang kurang enak dan tekstur berlendir dan melekti membuatkan natto tidak begitu digemari di kalangan bangsa asing.
Walaupun begitu, tahukah Natto miliki banyak khasiat tersembunyi dan rahsia warga Jepun hidup lama.
Khasiat Natto
Masyarakat Jepun sejak zaman feudal sehingga ke hari ini menjadikan natto sumber nutrien harian utama mereka.
Dr Kevin Wang, profesor dari Northeastern State University, US, adalah salah seorang penyelidik terkemuka meneroka nattokinase, enzim yang diekstrak dari natto.
“Nattokinase mempunyai keupayaan untuk masuk ke dalam aliran darah dan secara langsung boleh memusnahkan pembekuan darah, nipis darah dan memperbaiki aliran darah. Ia membersihkan saluran darah, mengurangkan risiko hipertensi dan strok dan juga dapat mengurangkan risiko serangan jantung.
1. Natto mengandungi antinutrien yang lebih sedikit dan lebih banyak probiotik daripada kacang soya tanpa fermentasi. Ini mengurangkan simptom pencernaan yang tidak menyenangkan dan membantu badan menyerap nutrien lebih mudah.
2. Natto mengandungi kalsium dan vitamin K2, kedua-duanya menyumbang kepada tulang yang lebih kuat dan sihat.
3. Natto mengandungi serat, probiotik, vitamin K2 dan nattokinase. Kombinasi ini boleh membantu mengurangkan kadar kolesterol dan tekanan darah dan mengurangkan risiko penyakit jantung.
4. Natto kaya dengan probiotik, vitamin C dan beberapa mineral, semuanya menyumbang kepada sistem imun yang sihat.
Kesimpulannya, Natto boleh menguntungkan penurunan berat badan, kesihatan otak dan menawarkan perlindungan terhadap jenis kanser tertentu. Walaubagaimanapun, lebih banyak kajian diperlukan untuk lebih pencerahan.
Untuk pengetahuan semua, tidak semua produk natto boleh dimakan kerana mengandungi bahan diragui dan mungkin tidak halal. Jadi dinasihati rujuk kepada pihak berkuasa dan pakar untuk lebih lanjut.