Anda pernah makan belangkas? Atau tidak akan sesekali makan ia.
Pertama kali penulis melihat rupa belangkas, jujur penulis rasa geli dan menggerunkan. Ia seolah-olah bukan hidupan laut biasa. Malah timbul persoalan, boleh dimakan?
Hidangan belangkas cukup popular di negeri Johor terutamanya di Batu Pahat serta Kota Tinggi. Ia boleh dikatakan sebagai menu eksotik. Apa menariknya, belangkas dimakan bukan pada isi tapi telurnya. Telur belangkas berwarna kekuningan dan mempunyai rasa lebih enak berlemak berbanding ketam.
Teringin makan belangkas? Pastikan anda tahu tentang belangkas dahulu..
Punya racun
Jangan memandai untuk menyiang belangkas dengan sendiri. Khuatir tersalah teknik, anda akan terkena toksik pada haiwan. Racun atau toksik yang ada pada belangkas boleh beri kesan pening dan mabuk pada manusia. Pastikan anda menikmati belangkas di restoran yang sudah punya pengalaman menghidangkan masakan belangkas.
Makan belangkas betina
Belangkas betina biasanya ditangkap untuk dimasak kerana mempunyai telur. Bahagian perut belangkas perlu dibuang terlebih dahulu kerana disitu menyimpan racun dan najis.
Harga belangkas tidak murah
Ia boleh mencecah RM30 kerana ia bukan mudah dijumpai. Musim belangkas hanya dua bulan sekali dan terdampar pada perairan yang bersih sahaja.
Tips hilang pening makan belangkas
Ada yang mengesyorkan untuk meminum kopi atau air kelapa sebelum makan belangkas. Cara ini kononnya berupaya mengelakkan rasa pening selepas memakan belangkas terutamanya pada mereka yang pertama kali mencuba.
Bagi penulis cukuplah makan ketam, untuk cuba belangkas penulis cakap tak!