Mengejutkan ramai peminat filem dan pembaca komik adiwira Marvel, Pengasas ikoniknya, Stan Lee akhirnya dijemput ajal pada 12 November baru-baru ini pada usia 95 tahun di Los Angeles.
Jasa beliau dalam industri percetakan komik, perfileman dan animasi sesungguhnya akan dikenang bahkan beliau akan selamanya diangkat sebagai seorang individu yang telah berjaya menjadi inspirasi kepada anak remaja sejagat yang sejak dari kecil banyak membesar dengan karya ciptaannya berlandaskan watak-watak hebat Marvel seperti Spider-Man, Thanos, Captain America, Iron Man, Hulk, Wolverine dan banyak lagi.
Bagi mengingati kembali aura kehebatan Stan Lee dalam dunia komik adiwira paling mahsyur, ayuh Wanista kongsikan enam (6) fakta menarik tentangnya yang mungkin ramai tidak tahu.
#1 Stan Lee Muncul Dalam Kebanyakan Filem Marvel
Tanpa sedar, Stan Lee sebenarnya kameo yang banyak muncul dalam filem-filem Marvel. Ini bukanlah kerana keinginan dirinya sendiri tetapi ia merupakan sebahagian daripada perjanjian kontrak yang telah dipersetujui pihak Stan Lee sendiri dan yup, dia turut dibayar untuk setiap lakonannya walaupun cuma memegang watak kecil.
#2 Romantis Dalam Diam
Biarpun Stan Lee kelihatan seperti hidup dalam dunia fantasinya sendiri, siapa tahu lelaki hebat ini sebenarnya seorang yang romantis dan begitu obses terhadap isterinya secara diam. Salah satu pos yang dimuat naik menerusi akaun Facebook peribadinya sekitar 2016 tentang #loveyourspousechallenge menceritakan segalanya. So sweet!
Walau bagaimanapun, isteri kesayangannya bernama Joan B. Lee itu telah mati terlebih dahulu sebelum Stan Lee sekitar Julai tahun lalu. Hasil perkahwinan sejak 1947, mereka dikurniakan 2 orang cahaya mata.
#3 Karakter Hulk Jadi Hijau Tanpa Sengaja!
Menurut cerita Stan Lee, watak Hulk yang dilukisnya pada asal adalah makhluk adiwira berwarna kelabu namun, sewaktu komik keluaran edisi Hulk dicetak, mesin pencetak itu mengalami isu dengan dakwat sekaligus, membuatkan hasil cetakan komik tersebut akhirnya menukar warna Hulk dari kelabu menjadi hijau.
#4 Isteri Selalu Buat Rambut Untuknya
Tahukah kamu, rahsia rambut kemas disisir ke belakang yang sering digayakan Stan Lee itu adalah hasil ilham isterinya. Stan Lee tidak pernah pergi ke salon untuk menggunting rambut kerana isterinya yang bertanggungjawab untuk merias rambutnya sejak dahulu lagi.
#5 Seorang Dermawan
Stan Lee amat mementingkan pendidikan dalam kalangan generasi muda sehingga suatu ketika dahulu, beliau pernah mendermakan sebahagian hartanya kepada University of Wyoming secara berkala untuk tempoh dari 1981 hingga 2001.
Bukan itu sahaja, beliau juga telah membangunkan sebuah institusi yang fokus kepada pendidikan dan bidang kesenian dipanggil The Stan Lee Foundation.
#6 Hidup Dalam Penyesalan
Biarpun bayaran yang diberikan kepada Stan Lee terhadap jualan karakter Marvelnya kepada Disney dibayar dengan jumlah besar bernilai $4 billion, Stan Lee pernah menyatakan betapa beliau menyesal kerana usaha kerasnya untuk mempopularkan setiap watak Marvel yang telah dilakukan sejak remaja itu jatuh ke tangan orang lain dalam sekelip mata.
Menurut Stan Lee, selama ini beliau tidak berfikir panjang betapa beliau sebenarnya boleh lebih maju andai mengusahakan Marvel sendiri namun semua usahanya selama ini sia-sia kerana ia adalah untuk orang lain.
Apa-apa pun, Stan Lee adalah seorang ikon adiwira yang cukup agung dan Marvel adalah karya yang tiada tolok bandingannya. RIP Stan Lee. ❤