Perkara kedua terpenting semasa mengembara selepas dokumen diri ialah bagasi barangan. Disitulah segala kelengkapan untuk hari-hari akan datang semasa jauh dari tanah air. Kadang ada yang gemar menyimpan barang berharga atau info tempahan pelancongan didalam bagasi besar. Biasalah senang jika semuanya diletak dalam satu tempat yang masa. Namun cara sebegitu boleh menimbulkan risiko jika beg anda hilang, lewat sampai atau diambil oleh penumpang lain.
Anda harus ingat, jika manusia dalam dunia ini mempunyai pelanduk tujuh serupa begitulah juga dengan beg anda. Malah keselamatan dan servis yang diberikan oleh pihak syarikat kapal terbang mahupun lapangan terbang kadang tak boleh dipakai sangat.
Jadi mulalah berjaga-jaga serta mengambil berat tentang bagasi anda. Wanista kongsikan cara paling terbaik untuk menjaga bagasi jika diletakkan di kargo kapal terbang.
Pertama…
Kalau anda pertama kali mahu membeli bagasi dan ingin mencampakkan ia didalam kargo, nasihat Wanista tak perlulah berhabis ribuan ringgit bagi mendapatkan beg yang berjenama. Cukuplah anda beli bagasi yang muat untuk pakaian dan tahan lasak. Cara ini juga untuk mengelakkan beg anda menjadi ancaman kerana ianya bernilai dan boleh dicuri.
Kedua…
Kemaskan beg anda dengan strategi. Pastikan segala barang berharga, gajet dan info pelancongan diletakkan dalam beg kabin anda bukan kargo (check-in luggage)!
Selain itu, ambil gambar segala barangan yang telah dimuatkan dalam bagasi supaya anda boleh track barang yang turut hilang bersama beg. Cara ini sebagai tuntutan nilai yang rugi pada pihak syarikat penerbangan. Kalau anda benar-benar tekad, siapkan juga senarai yang anda telah pek.
Ketiga…
Letakkan informasi pengenalan diri anda pada tag beg seperti nama penuh dan telefon bimbit. Malah anda juga boleh sediakan salinan itinerari perjalanan anda didalam bagasi supaya pihak syarikat penerbangan boleh menghubungi anda dengan mudah.
Keempat…
Buatkan tanda pada beg anda seperti tampal sticker nama, ikat dengan tali berwarna-warni atau apa sahaja yang memberi kelainan pada bagasi. Orang ramai juga tidak terkeliru daripada tersalah beg anda dan anda juga mudah untuk mengenal pasti ketibaan beg walau dari jauh.
Terakhir…
Kuncikan bagasi. Jika anda sukar untuk ingat nombor kombinasi beg, apa yang boleh anda buat ialah simpan nombor tersebut didalam telefon bimbit. Anda juga boleh gunakan tali plastik sebagai kunci tambahan dibahagian zip dan poket tertentu. Bawa tali plastik lebih supaya boleh digunakan untuk penerbangan pulang.
Dah sedia nak kemas beg? Selamat beramal.