Sudahlah jatuh ditimpa tangga, Johnny Depp khabarnya bakal mengucapkan selamat tinggal kepada watak sekuel filem popular Disney yang sudah dipegangnya sebanyak lima kali sepanjang tempoh 15 tahun.
Kenyataan itu disahkan sendiri oleh Penulis Skrip sekuel filem Pirates of the Caribbean, Stuart Beattie, yang muncul dalam satu temu bual kasual bersama DailyMail TV. Stuart memberitahu yang mereka kini sedang menjalankan proses untuk membangunkan semula francais filem tersebut secara menyeluruh.
Pendapat beliau tentang pemergian Johnny Depp, “Saya rasa beliau adalah insan yang gah. Umumnya, dia berjaya membawa watak itu menjadi realistik dengan cara tersendiri dan ia adalah watak paling popular yang pernah dia bawakan.
“Kanak-kanak di seluruh dunia menyayangi dia sebagai karakter tersebut jadi saya rasa itu adalah mencapainya yang paling hebat, bahkan kami juga bangga dengan kerjasama yang diberikannya selama ini,” tambah Stuart.
Jelas Stuart lagi, nama Jack Sparrow selamanya akan kekal sebagai legasi Johnny Depp dan itu adalah satu-satunya watak popular yang dimainkannya sebanyak lima kali berturut-turut.
Sepanjang kariernya sebagai aktor juga, Johnny banyak sekali membuat kebajikan dengan memakai kostum Jack Sparrow terutamanya saat melawat kanak-kanak di hospital bagi menghiburkan mereka yang tidak bernasib baik.
Johnny Depp Ada Masalah Peribadi & Kewangan
Mungkin ramai yang tahu, Johnny berubah secara drastik sebaik dirinya bercerai dengan isteri tercinta, Amber Heard sejak beberapa tahun lalu sekitar 2016. Mulai saat itu, Johnny dilihat sangat murung bahkan penampilannya juga sejak akhir-akhir ini banyak mengejutkan ramai apabila dirinya seolah tidak terurus di samping berat badan yang hilang secara mendadak.
Menurut sumber lagi, produksi membuat keputusan untuk menggantikan Johnny Depp mungkin kerana kualiti lakonannya dalam sekuel Pirates of the Caribbean yang diterbitkan tahun lalu agak mengecewakan. Ia kemudian dikaitkan dengan masalah peribadi dan kewangan yang sedang dihadapi Johnny beberapa tahun kebelakangan ini.
Walau bagaimanapun, orang pasti akan senantiasa mengingati Johnny Depp sebagai Jack Sparrow yang sejati dan beliau akan dikenang sampai bila-bila.
Good luck in the future, Johnny Depp!