Orang Malaysia paling pantang betul dengan bab makanan!
Kalau di Kuala Lumpur carilah makanan apa sahaja diatas muka bumi, pasti ada kedai atau restoran yang menjualnya. Namun makanan dari negara jiran ini juga menjadi kegilaan dan sangat mudah dicari dimana dan pada bila-bila masa sahaja. MAKANAN THAILAND!
Sebut sahaja Tomyam memang sudah terbayang rasa masam pedas sup tersebut, rasanya Tomyam tak perlu susah-susah ke kedai makan. Dirumah pun boleh buat sendiri, apatah lagi lambakan perencah Tomyam yang ada dijual. Selain dari Tomyam, banyak lagi makanan dari negara gajah putih itu telah menambat tekak rakyat Malaysia.
Mungkin ada daripadanya anda sudah mencuba, cuma tak tahu nama sahaja. Mari sama-sama recall dengan Wanista, antara makanan Thailand paling popular di Malaysia.
#1 Pulut Mangga
Di Thailand pulut mangga dipanggil Khao niao mamuang. Kalau pergi mana-mana restoran Thai pasti di menu pencuci mulut ada untuk dipilih. Penulis suka kalau mangga dan kuah santan lagi banyak dari pulut. Hehehe~
#2 Miang Kham
Ia seperti makan sirih di Malaysia cumanya lebih sedap dan berperisa. Bungkusan daun kaduk diisi pada denhan hirisan udang kering, limau nipis, bawang, kacang tanah dan pelbagai lagi.
#3 Pla Samrot
Pla Samrot maksudnya ikan tiga rasa! Hidangan ini paling popular dan gemar ditempah ketika makan beramai-ramai. Ikan kerapu besar digoreng sehingga garing dan goreng kilas bersama kuah manis, pedas dan masam bersama.
#4 Pad Thai
Masakan ringkas sesuai untuk minum petang atau sarapan pagi. Pad Thai ialah mee beras yang digoreng kilas bersama kicap, taugeh, daun bawang, telur, pilihan makanan laut dan ditabur dengan kacang tanah. Makan panas-panas paling nikmat!
#5 Som Tam
Kerabu betik atau mangga yang dihiris halus kemudian diadun bersama kacang tanah, bawang putih, cili, tomato, jus limau, sos ikan, tomato dan udang kering. Memang best makan segar macam itu sahaja.
RESEPI: Rahsia Buat Telur Goreng Garing Seperti Di Kedai Tom Yam
#6 Kari Hijau
Kalau anda ingin kelainan dengan lauk kari, bolehlah cuba tukar warna kari anda yang oren kepada hijau pula. Rasa kari mungkin sedikit berbeza kerana dalam masakan Thai mereka gemar campurkan sos ikan, daun ketumbar dan serai.
#7 Phat Krapao
Hidangan simple yang senang dimasak lebih lagi kalau ingin cepat makan tengahari dan makan malam. Masakan daging atau ayam cincang goreng kilas bersama kicap, cili, sos ikan, sos tiram dan ditambah daun selasih.
#8 Pla Neung Manao
Kuah masam dari ikan yang dikukus bersama jus limau nipis, hirisan lada, bawang putih dan halia. Ini boleh dikatakan hidangan sihat tanpa menggunakan sebarang minyak.
#9 Gai Hor Bai Toey
Ayam perapan yang dibalut kemas menggunakan daun pandan. Memang wangi sahaja bila makan chicken wrap versi Thailand ini. Jangan tak tahu Gai Hor Bai Toey lagi enak dimakan bersama sos bijan.
Aduh, lapar pula rasa perut bila tengok semua gambar makanan ini. Sawadikap!