Sudah biasa kita dengar andainya ibu yang hamil itu akan mengidam makanan yang macam-macam. Bukan setakat selera makan berubah-rubah, emosi dan karakter diri juga adakalanya berhadapan dengan perubahan drastik… dan ternyata, itu normal.
Apa yang ramai tidak tahu, pasangan kita juga berpotensi untuk terkena alahan “pembawakan budak” meskipun bukan mereka yang hamil. Apa kata si suami tentang perkara ini?
Bagi yang baru hendak bergelar ibu dan bapa sekaligus masih belum ada pengalaman dalam menyambut kelahiran, ini antara simptom “pembawakan budak” yang boleh terkesan pada si suami.
#1 Kuat Kencing Malam
Dengar macam kelakarkan? Tapi ramai ibu-ibu yang berada dalam trimester ketiga berkongsi bahawa, para suami biasanya kerap kencing malam seolah-olah terkena simptom penbawakan budak yang biasanya hanya dialami si ibu. Jadi, kalau suami kamu kerap kencing malam tu janganlah ingat penyakit pula, kerananya ianya normal.
#2 Dilanda Kebimbangan
Nampaknya sifat seorang bapa sudah semakin menyerlah dalam diri suami kamu! Ini kerana kebanyakan suami yang biasanya adalah inidividu serius dan tegas kini sudah bertukar menjadi seoranng yang berhati lembut dan perisau. Sering dilanda kebimbangan dalam kalangan para suami yang gigih berada di samping isteri sarat adalah perkara biasa.
Antara faktor-faktor yang boleh dilihat adalah apabila suami sukar tidur malam, rasa pedih ulu hati dan kepenatan yang teramat. Kalau boleh isteri-isteri yang hamil tu janganlah terlalu ‘mendera’ suami ya. Kasihanilah mereka yang sebenarnya turut terkena alahan pembawakan budak ni.
#3 Moody
Untuk si isteri, biasanya emosi kamu akan terganggu bermula minggu keenam hingga ke-10 dalam tempoh hamil namun bagi si suami, mereka akan terpengaruh untuk moody setiap kali mereka berasa cemas atau saat stress!
#4 Mual & Muntah-Muntah
Memang akan ada sesetangah golongan suami yang turut sama berasa mual dan kerap muntah-muntah. Sehingga kini, tiada sesiapa dapat merungkai misteri alahan tersebut tetapi menurut kajian, ia mungkin disebabkan kerisauan melampau.
#5 Penambahan Berat Badan
Jaga-jaga, suami biasanya akan jadi kuat makan, lebih berselera dan seterusnya mendorong berat badan mereka untuk anik tanpa disedari. Menurut sumber, perkara ini berhubung rapat dengan perubahan hormon yang dialami si suami kerana mereka mungkin risau dan sedikit tertekan dengan tanggungjawab yang lebih besar untuk digalas selepas menerima kelahiran baru nanti.
#6 Sakit & Sengal Badan
Menurut sumber, dalam keadaan isteri yang sedang hamil, suami juga tidak kurang hebatnya turut merasa kesengalan otot. Suami akan mengadu yang dia sakit-sakit badan dan mengalami lenguh di sekitar tubuh.
Dalam kes lain, ada pula tempat yang diadu suami itu sama dengan bahagian yang isteri turut merasakan kesakitan. Sehati sejiwa betul kan? Yup, ini adalah kerana psikologi.
#7 Jadi Ekstra Pembersih
Memang jarang nak lihat lelaki yang ekstra pembersih. Tapi menurut pengalaman wanita-wanita yang pernah hamil, rata-ratanya menyatakan suami mereka sebenarnya jadi lebih rapi dan sangat menjaga kebersihan sewaktu mereka sedang hamil. Adakalanya, mereka yang lebih serabut andai rumah kelihatan kucar-kacir melebihi si isteri. Hmm???
Tapi bagus juga! 🙂
Apa-apa pun, suami isteri perlu banyak bertolak ansur lebih-lebih lagi kalau isteri tu tengah hamil. Kalau nak kandungan yang sihat, emosi kenalah stabil, kan? Selamat beramal! ❤