Bangun dari tidur merupakan perkara yang personal. Tiada orang bangun tidur terus nampak elok sempurna seperti yang digambarkan dalam drama mahupun filem. Yang pasti akan ada perkara kotor dan jijik mengiringi tubuh badan dan percayalah bahawa benda-benda ‘sebegini’ yang dilakukan pada waktu pagi sering menunjukkan tanda-tanda kesihatan fizikal yang baik.
“Sepanjang 30 minit pertama anda terjaga, tubuh anda akan memulakan semula enjinnya, ” kata Dr. David Greuner dari NYC Surgical Associates.
Berikut adalah empat perkara jijik yang berlaku pada waktu pagi yang sebenarnya bermakna anda sihat, menurut pakar.
Tahi Mata
Tahi mata mengandungi mukus, minyak, sel kulit dan bahan lain yang terkumpul pada tepi mata ketika tidur. Pakar Oftalmologi Hospital Pakar KPJ Rawang, Dr Premadeva C Satkurunathan, berkata tahi mata sebenarnya berperanan melindungi, mengeluarkan sisa buangan dan kandungan yang membahayakan daripada permukaan mata.
“Mata kita sentiasa mengeluarkan air mata yang meliputi bahagian depan permukaan mata. Apabila kita mengerlip mata, permukaan mata berair dan mukus ini membantu membuang sisa kotoran sebelum ia mengeras atas permukaan mata,” katanya.
Buang Air Besar
Tahukah anda fakta menunjukkan bahawa pagi hari adalah waktu terbaik untuk buang air besar. Selain melancarkan sistem pencernaan, rutin buang air besar juga sangat baik untuk kesihatan lain.
Dr Kenneth Koch menjelaskan bahawa ini perlu dilakukan pada waktu pagi untuk membuang sisa makanan yang dimakan pada waktu malam sebelum tidur. Proses pencernaan makanan yang berlaku di usus akan dilakukan semasa tidur pada waktu malam dan sisa pencernaan akan dikeluarkan pada waktu pagi.
Mulut Berbau
Siapa saja yang suka bila mulut berbau, lebih-lebih lagi ketika bangun tidur. Mulut anda hanya mengalami reaksi yang sihat untuk tidur malam yang nyenyak.
“Air liur, yang membuang bakteria yang menyebabkan nafas berbau, menurun dengan ketara apabila kita sedang tidur. Keadaan ini menyebabkan ‘mulut kering’ dan bakteria bersarang di lidah dan gigi, lantas menyebabkan nafas anda menjadi bau pada waktu pagi. Selagi anda mengamalkan kebersihan mulut yang baik, sedikit nafas berbau tidak mendatangkan masalah yang besar, ” terang Dr. David Greuner.
Kentut
Ramai orang mendakwa sentiasa kentut selepas bangun dari tidur. Selepas melakukannya, perut berasa lebih lega walaupun kadangkala ia akan mengaktifkan keinginan untuk membuang air besar.
“Melepaskan gas pada waktu pagi bermakna saluran pencernaan anda sihat, yang bermaksud anda mungkin mendapatkan buah-buahan dan sayur-sayuran yang mencukupi,” kata Janette Nesheiwat, M.D, doktor perubatan.
Sekarang dah jelas? Selamat Beramal!