Merancang percutian ke Paris? Mungkin menyewa hotel yang berlatarkan seni bina klasik sudah terlalu klise bagi kamu yang gemar melancong. Untuk mewujudkan keterujaan, kini Booking.com menawarkan tempat penginapan unik yang diperbuat dari 1.5 ton coklat!
Boleh memuatkan hingga empat orang penghuni, ia direka khas oleh pembikin coklat termahsyur di Perancis iaitu Jean-Luc Decluzeau. Apa yang pasti, coklat yang distruktur untuk membina rumah ala kampung ini juga sebenarnya boleh dimakan. Pastinya mimpi dan impian kanak-kanak kamu dahulu untuk menjadi Hansel & Gretel tercapai bila menginap semalaman di sini.
Bukan sahaja bahagian luar rumah diperbuat daripada coklat semata, bahagian dalam rumah termasuk kabinet serta hiasan dalamannya boleh dikatakan 98 peratus diperbuat menggunakan coklat makan.
Rumah oenginapan ini berlokasi di rumah kaca L’Orangerie Ephémère yang terletak dalam kawasan taman Cité de la Céramique.
Untuk pengetahuan semua, rumah ini berkeluasan 18 meter persegi dan bagi pengujung yang menempah penginapan di sini, mereka juga bakal berpeluang menghadiri bengkel untuk membuat prototaip chalet mini mereka sendiri yang turut disertakan dalam pakej bermalam.
Orang ramai boleh menempah untuk bermalam di sini menerusi Booking.com dan hasil tinjauan penulis, harga untuk bermalam dalam pondok coklat ini adalah sekitar €50 (RM241) semalam.
Jadi bagi sesiapa yang suka berkongsi foto di Instagram tu eloklah bermalam di sini, alang-alang boleh makan coklat sekali ye dak?