Cinta & Perhubungan

Idea Makanan Yang Tak Klise Untuk Dibuat Hantaran

Afiqah Syamin
/
Bukan hipster atau hijabista, cuma seorang gadis yang cintakan tradisi, bersifat feminin dan amat menghargai setiap bait lirik dalam lagu dan muzik ciptaan Coldplay. Fesyen? Sangat obses dengan karya rekaan Teuta Matoshi Duriqi, Oscar de la Renta dan Dolce & Gabbana ❤️
Idea Makanan Yang Tak Klise Untuk Dibuat Hantaran

Hantaran adalah perkara lazim yang perlu disertakan dalam sesebuah majlis pertunangan atau perkahwinan. Sebagai pasangan mempelai yang bakal disatukan, adakalanya kita jadi pening apabila hendak memikirkan apakah hantaran bersesuaian betul tak?

Sumber: Pinterest

Mana hendak fikirkan keperluan-keperluan lain yang lebih penting seperti persalinan pengantin, dewan, katering dan lain-lain. Untuk bantu kamu supaya tidak terus pening kepala memikirkan benda-benda remeh sebegini, nah Wanista beri idea makanan yang tidak klise untuk dijadikan hantaran.

#1 Swiss Roll Batik

Bosan asyik tengok orang tayang kek atas hantaran kan? Sudahlah susah nak menjaganya supaya tak runtuh atau tidak cair hiasan gula dan sebagaianya. Jadi jika masih hendak beri kek sebagai hantaran, gantikan dengan swiss roll yang cantik dihiasi cetakan batik ni. Mana nak beli? Cari sahaja di Instagram. Memang berlambak penjaja kek yang menerima tempahan untuk membuat Swiss Roll bermotifkan batik ini.

Sumber: Twitter

#2 Madu Bersarang

Orang dahulu tak mampu hendak memberi madu sebagai hantaran kerana harganya boleh dikatakan mahal. Tetapi untuk masyarakat moden hari ini, sudah banyak penjaja yang menjual variasi madu dan dijual pada harga mampu milik.

Sumber: Pinterest

Jika perkahwinan kamu berkonsepkan Islamik, apa salahnya memberikan madu sebagai hantaran. Asyik jadikan buah sebagai hantaran jadi apa kata kali ini kamu berikan madu pula. Untung-untung, madu ini kan salah satu makanan sunnah Rasullullah s.a.w. Cari jenis madu yang memiliki sarang (honeycomb), pasti lagi manis dijadikan hantaran.

#3 Teh

Romantisnya bila teh dijadikan hantaran. Teh juga boleh dijadikan hantaran mewah kerana aroma dan kualiti teh dari beberapa jenama seperti Dilmah atau TWG umumnya sangat berkelas untuk dijadikan pemberian istimewa buat yang tersayang. Buat masa ini penulis belum pernah lagi lihat orang kirimkan teh sebagai sebahagian hantaran berbentuk makanan dan minuman.

Sumber: TWG

#4 Pudding Raja

Kalau kamu berketurunan Pahang, kamu pasti kenal dengan manisan mewah yang dahulunya hanya boleh dinikmati oleh penghuni istana ini.

Sumber: Blogspot

Pudding Raja adalah merupakan manisan berkuah mewah yang sangat popular kerana proses membuatnya sangat rumit terutamanya bagi penyediaan jala emas. Daripada bagi puding biasa atau makanan biasa-biasa seperti halwa, boleh cuba kirimkan Pudding Raja ini buat si cinta hati menerusi gubahan hantaran.

#5 Bijirin Granola

Kamu atau pasangan adalah individu yang obses menjaga kesihatan atau dalam bahasa Inggerisnya dipanggil Fitness Enthusiast? Daripada memberi jajan berbentuk coklat atau gula-gula, apa kata buat hantaran kelihatan lebih mahal dengan snek berbentuk granola ini.

Sumber: Pinterest

Berasaskan bijirin dan kekecang berperisa, biasanya penjaja sudah membungkuskan granola dalam kotak dan pembungkusan yang cantik. Jadi tak perlu sudah-susah memikirkan cara menghias gubahan hantaran makanan yang diletakan granola ini nanti.

Apa pula idea hantaran makanan yang tidak klise bagi diri kamu? Mungkin boleh kongsikan dengan Wanista di bahagian komen… ❤