Kumpulan K-pop sering membawa pembaharuan segar dalam busana fesyen yang digayakan. Baik dalam video muzik mahupun kala berhadapan dengan peminat di atas pentas persembahan live, setiap ahli pasti membawa identiti peribadi yang unik untuk ditonjolkan kepada khalayak menerusi gabungan aksesori, solekan dan persalinan pakaian gah.
Seperti kumpulan-kumpulan K-pop yang lain, BLACKPINK juga mempunyai jururias dan jurugaya yang tersendiri untuk menjaga imej mereka agar tidak terpesong dari konsep yang dibawakan kumpulan tersebut.
Antara ahlinya yang sering mendapat perhatian pula haruslah Jennie kerana menurut peminat, Jennie selalu berpeluang menggayakan busana cantik-cantik, lebih mewah dan mahal dari ahli kumpulannya yang lain -tidak seperti Lisa, Jisoo dan Rose. Agaknya mengapa?
Ini jurugaya BLACKPINK, Choi Kyung Won, tampil mendedahkan alasannya.
Choi Kyung Won Kenal Sifat Semula Jadi Ahli BLACKPINK
Untuk pengetahuan semua, Choi Kyung Won adalah jurugaya yang dipertanggungjawabkan menjaga imej BLACKPINK sejak mereka mula-mula debut dahulu. Menurutnya, gaya yang ditetapkan untuk Jennie, Lisa, Jisoo dan Rose adalah disunting dari karakter individu masing-masing dan bukanlah berniat untuk berat sebelah.
Kyung Won juga menganggap yang keempat-empat gadis ini bukan sahaja memiliki pilihan gaya yang lebih kurang sama bahkan, mereka juga memiliki taste yang elegan dan mewah terhadap pemilihan item fesyen.
Jisoo: Yang Paling Jelita
Jika kamu perasan Jisoo adalah satu-satunya ahli BLACKPINK yang menggunakan rupa dan solekan sebagai tarikan utama. Rata-rata fesyen yang digayakan sangat ringkas tanpa aksesori yang berselirat, namun, solekan yang dikenakan pada wajah adalah amat sensual untuk dijadikan daya penarik.
Untuk itu, Kyung Won telah memilihkan pakaian yang agak keperempuanan dan dalam masa yang sama memiliki perincian yang tidak keterlaluan khas buat Jisoo.
Rose: Gadis Urban Jalanan
Apabila diperhatikan, Rose adalah ahli BLACKPINK yang kurang mendapat perhatian. Bukan kerana dirinya tidak berbakat namun, karakter yang dimilikinya agak klise dan tidak berapa menonjol.
Meskipun begitu, Rose saling tak tumpah mempunyai gaya yang ada iras-iras milik Lisa (feminin tapi berkarisma) dan untuk itu, Kyung Won telah mengambil langkah agresif untuk menetapkan pakaian yang diinspirasi dari gaya jalanan ceria dengan memanfaatkan kaedah suai padan untuk disarungkan Rose.
Lisa: Satu Dalam Seribu
Boleh kata 90 peratus peminat BLACKPINK akan tertarik dengan gaya dan identiti yang dibawakan gadis bernama Lisa ini. Biarpun beliau merupakan rapper di dalam kumpulan itu, rupa parasnya sangat comel membuatkan ramai terpikat dengannya.
Kyung Won menggambarkan Lisa sebagai kunci utama kepada kumpulan itu. Walaupun karakternya kelihatan kasar dan garang, Lisa juga sangat jelita dengan caranya yang tersendiri. Sebab itu rata-rata busana yang dipilihkan untuknya adalah sangat pelik, eksentrik dan unik.
Jennie: Ratu Fesyen Alaf Baru
Menurut jurugaya Kyung Won, fesyen Jennie ternyata lebih mewah dan gah berbanding ahli kumpulan lain. Itu adalah kerana sifatnya yang sangat feminin dan dalam masa yang sama, mengapa ramai orang mempersoal “Kenapa pakaian yang digayakan Jennie selalu kelihatan ekstra?”… Itu adalah kerana Jennie membeli sendiri sebahagian aksesori dan item fesyen yang dipakainya.
Senang cerita, baju yang dipakai Jennie bukan dari yang ditaja semata-mata tetapi beliau bijak membawa sendiri item fesyen milik persendirian dan memadankannya dengan pakaian yang sudah dipilihkan untuknya.
Kesimpulannya, YG Entertainment tidak bersikap berat sebelah terhadap anak-anak buah yang berada di bawah naungannya, cuma Jennie sendiri yang memang ‘terlebih bijak’ berhias dan mampu menyumbangkan idea dalam gaya-gaya fesyen yang ingin dibawakannya. ❤