Bila ada ‘member’ yang ajak bercuti dalam Asia, kita selalu menolak kerana rata-ratanya menganggap tiada apa yang menarik melainkan untuk tersekat dalam trafik yang sesak, pergi membeli-belah secara borong mahupun duduk di tepian pantai bagi menikmati pemandangan laut semata-mata. Namun, tahukah kamu masih banyak lagi daerah tersembunyi yang mampu memberi 1001 kejutan buat kamu yang kaki travel?!
Seperti wilayah Guangxi di China yang terletak berhampiran dengan sempadan Vietnam ini, ia jauh lebih mendamaikan daripada mengembara ke gunung-ganang di New Zealand tu. Nak tahu kenapa?
#1 Tradisi Masyarakat Zhuang
Ramai tak tahu tentang kewujudan bumi hijau ini. Biarpun kawasannya agak pendalaman dan bercucuk tanam adalah sumber pendapatan mereka, masyarakat setempat wilayah Guangxi yang digelar Zhuang adalah golongan yang taat pada amalan nenek moyang mereka.
Kaya dengan pelbagai adat dan budaya, salah satu yang menarik adalah cara mereka berpacaran. Ini kerana,gadis-gadis Guangxi yang akan memilih pacar mereka dengan mempersembahkan bola berhias buatan tangan dalam sebuah majlis besar-besaran yang akan diadakan sebagai aktiviti tahunan di wilayah itu.
#2 Air Terjun Detian
Merupakan air terjun terbesar dan terluas di Asia, air terjun Detian menjadi tumpuan pelancong kerana dari jauh ia kelihatan seperti kain sutera yang jatuh terhampar ke dalam air. Untuk pengetahuan semua, lokasi air terjun ini sering dipilih untuk menjadi set penggambaran bagi filem dan drama-drama popular Oriental. Untuk ke sini, pengunjung perlu menaiki rakit buluh yang disediakan dan pastinya dapat merasai sendiri sensasi kesejukan rembesan air terjun berkenaan.
#3 Teh Liu Bao
Bukan sembarangan teh, ini mungkin teh paling mahal yang kamu boleh rasai sendiri apabila berkunjung ke Guangxi. Diramu menggunakan cara tradisional yang memerlukan kepakaran orang lama, ia kemudian diperam hingga 10 ke 30 tahun. Harga 1 kilogram teh Liu Bao ini boleh menjangkau RM32,000!
#4 Persekitaran Gunung-Ganang Cantik
Jika kawasan ini sedang berkabus, kamu umpama berada di syurga yang terletak di awangan dan sebaik awan kabus beredar, pemandangan indah inilah yang bisa kamu lihat dan alami sendiri. Cantik kan?!
Di sekitarnya adalah perkampungan setempat masyarakat etnik Zhuang yang rata-ratanya petani dan penjaja.
#5 Tersenarai Sebagai Kawasan Warisan Dunia!
Sebahagian dinding gunung Huo yang dihiasi lukisan kuno berdakwat merah yang masih kekal hingga ke hari ini. Ia adalah peninggalan oleh nenek moyang etnik Zhuang sejak 2000 tahun lalu menggambarkan aktiviti harian pertanian masyarakat setempat dan seterusnya terpilih sebagai salah satu kawasan warisan dunia yang terpelihara.
Jadi, apa pendapat kamu? Kalau kamu sukakan percutian santai yang lari dariapda kesibukan kota raya. Bolehlah buat perancangan untuk menggembara ke bumi Gaungxi di China ni. ❤