Makin lama makin serius pula penulis lihat jualan mekap tiruan berleluasa.
Baru-baru ini penulis terpandang satu posting butik kecantikan yang menjual pelbagai barangan kosmetik. Alat mekap dan kosmetik yang dipamerkan di rak jualan bukan jenama biasa-biasa. Kebanyakan ialah dari jenama besar dan luar negara!
Tidak masuk akal rasanya jenama luar negara dijual di butik kosmetik tempatan pada harga serendah bawah RM100 untuk satu palet pembayang mata.
Bahana memakai mekap tiruan ini sama seperti memakai produk krim timbang kilo. Kita tidak tahu dimana, bagaimana, bahan apa yang dimasukkan didalam produk sehingga dapat dijual dengan harga yang paling rendah. Penghasilan produk kecantikan bukanlah boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya ia melibatkan kesan pemakaian pada kulit.
Wanista senaraikan beberapa jenama mekap terkenal luar negara yang dijual tiruan di stor kecantikan tempatan melalui atas talian atau pasar malam berdekatan rumah anda.
#1 Huda Beauty
Palet pembayang mata dan gincu matte Huda Beauty paling banyak dijual secara tiruan.
#2 Kylie Jenner Cosmetics
Kit gincu Kylie Jenner Cosmetics antara paling laku keras di pasar-pasar malam. Rekaan pembungkusan memang mengelirukan pengguna.
#3 Nars
Bedak asas dan palet pemerah pipi Nars menjadi mangsa ciplak sesetengah pengilang tidak bertanggungjawab. Hati-hati!
#4 Mac Cosmetics
Paling banyak dijual di pasar-pasar malam terdiri dari bedak kompak, gincu dan palet pembayang mata.
#5 Urban Decay
Palet pembayang mata Naked Urban Decay antara paling terawal dijual ciplak dan kualitinya sangat menghampakan.
#6 Fenty Beauty
Bungkusan dan cetakan Fenty Beauty banyak digunakan pada produk tiruan.
Tips untuk anda elak membeli mekap tiruan ialah lakukan sedikit research tentang jenama produk melalui laman sesawang rasmi atau akaun Instagram rasmi jenama tersebut. Dari situ anda boleh rangkaian produk yang dikeluarkan dan harga sebenar.
Jenama mekap yang dipercayai dan berkualiti akan dijual melalui stor yang sah dan telah mendapat pengiktirafan seperti Sephora, Watsons, Guardian, Sasa atau dari butik kecantikan jenama itu sendiri.
Tiga perkara anda rugi jika membeli kosmetik tiruan iaitu wang, kulit (nyawa) dan kualiti.