It’s a girl! Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern bersama suaminya, Clarke Gayford selamat menimang cahaya mata sulung mereka semalam yang menurut sumber seberat 3.3 kilogam.
Selepas melahirkan di Auckland City Hospital sekitar jam 4.45 petang semalam, Jacinda dan bayi perempuannya itu dipindahkan daripada dewan bersalin ke wad ibu mengandung.
Keadaan bayi sangat sihat, dan kegembiraan itu telah dikongsikan Jacinda sendiri menerusi sebuah foto yang dimuat naik ke akaun Instagramnya di samping suami tercinta.
Bayi yang masih belum diumumkan namanya itu dilihat memakai topi dan sepimut yang dikait serba putih. Menurut sumber, selimut dan topi khas untuk bayi itu adalah merupakan pemberian buatan tangan Ngai Tahu iaitu sebuah komuniti suku orang asli di New Zealand.
“Saya yakin kami sedang melalui emosi yang dilalui pasangan yang baru menjadi ibu bapa, pada masa sama bersyukur dengan kebaikan dan ucapan tahniah daripada semua. Terima kasih,” kata Jacinda. Khabarnya juga, Jacinda dan bayi akan menginap di hospital selama dua ke tiga hari lagi sebelum dibenarkan pulang.
Tahniah Wanista ucapkan buat Jacinda dan pasangan!