Bersedekah adalah satu amalan mulia. Terdapat banyak cara untuk bersedekah salah satunya ialah dengan memberi makan kepada keluarga, sanak saudara atau siapa sahaja. Sudah menjadi satu tradisi di Malaysia tatkala tiba pada hari perayaan akan mengadakan rumah terbuka.
Terhidang pelbagai jenis juadah, namun intipati paling penting kita ketika rumah terbuka ialah mengeratkan kembali silaturahim sesama saudara.
Jika tahun ini anda dan keluarga telah berniat untuk menjadi ‘tuan rumah’ bagi rumah terbuka. Mulai sekarang kena sudah tahu apa yang perlu dipersiapkan supaya majlis nanti berjalan dengan lancar.
Agihkan tugasan
Pastikan anda dan keluarga sudah tahu tugasan masing-masing. Membeli bahan makanan, mengemas rumah dan paling penting dalam menyediakan juadah. Siapkan semua bahan-bahan memasak seeloknya dua atau sehari sebelum supaya tidak ada yang tertinggal.
Pilih menu yang bersesuaian
Anda kena tetapkan berapa jemputan dan masa majlis supaya makanan yang disediakan bersesuaian. Jika anda mahu buat pada waktu tengahari pastikan ada juadah berat seperti nasi, mee dan lain-lain. Jangan lupa pada makanan wajib hari raya iaitu ketupat, lemang, kuah kacang, rendang dan kuih raya. Begitu juga dengan pilihan minuman samada minum sejuk, panas dan air kosong pun kena ada.
Dekorasi
Jangan nak terlalu over untuk dekorasi, cukup beri keselesaan pada tetamu untuk menjamu selera. Sediakan ruang yang luas dan susunan kerusi serta meja makan yang hampir untuk mengambil bufet makanan. Ada yang lebih suka untuk menyewa khemah jika tinggal di rumah bertingkat.
Layan tetamu
Pastikannya semua tersedia dengan lengkap, supaya anda jua dapat melayan tetamu dan tidak sibuk didapur. Iyalah, kadang tetamu datang bukan sahaja untuk menjamu tapi untuk berjumpa dengan anda dan saudara yang lain. Tak syoklah, orang datang tapi anda berada didapur kerana masih menyiapkan juadah.
Jangan lupa ini…
Boleh dikatakan ramai terlupa untuk membeli barang-barang keperluan seperti plastik sampah, pinggan mangkuk kertas, sudu da cawan kertas. Rasanya tak perlu untuk anda keluarkan pinggan dan mangkuk kaca kurang sesuai untuk tetamu yang membawa anak-anak kecil. Anda pun tak perlu susah payah nak membasuh pula selepas majlis.
Paling mustahak apabila membuat majlis tak kiralah rumah terbuka atau perkahwinan iaitu pengurusan masa. Jadi anda dan keluarga rencana sebaiknya tentang masa ya.