Berita baik buat para penggemar sekuel filem aksi fiksyen Star Wars, Walt Disney baru-baru ini ada mengumumkan bahawa pihaknya bakal melancarkan sebuah lagi taman tema hebat berlatarkan set Planet Batuu seperti yang pernah wujud dalam filem yang dibintangi karakter Luke Skywalker dan Han Solo itu.
Lebih mengujakan bahawa ia merupakan taman tema konsep baharu terbesar yang pernah diketengahkan Disneyland dengan mengambil keluasan kawasan sebesar 14 ekar.
Sebelum ini, Disney telah membeli syarikat penerbitan filem Lucasfilm Ltd. dan francais Star Wars pada tahun 2012 bernilai AS$4.05 billion dollar.
Taman tema itu yang diberi nama Star Wars:Galaxy’s Edge akan dibuka buat pengunjung pada musim panas 2019 di Disneyland California manakala lagi satu taman tema seumpamanya juga akan dilancarkan di Walt Disney Resort Florida sekitar musim luruh 2019.
Tonton Video Perkembangan Pembinaan Taman Tema Star Wars: Galaxy’s Edge
Pastinya menggamit memori buat pengunjung yang mahukan kelainan lebih-lebih lagi para peminat yang obses dengan Star Wars, semua pengunjung kini berpeluang menjejakan kaki ke planet Batuu dan bertemu karakter-karakter Star Wars secara realiti.
Antara tarikan yang menanti adalah termasuk replika kapal angkasa Millennium Flacon yang memberi peluang kepada pengunjung untuk menjadi juruterbang serta melihat pelbagai lagi seni bina lanskap ikonik filem Star Wars.