Ajal menjemput tak mengira usia atau waktu, itu yang berlaku terhadap anak kepada sepasang suami isteri yang dikenali sebagai Robert Brown dan Kelly O’Neil Brown.
Anak lelaki mereka, Carter Brown, 19, baru-baru ini telah meninggal dunia dalam sebuah kemalangan jalan raya menyebabkan ketidakhadirannya ke pesta tari (prom) yang dianjurkan oleh pihak sekolah di James Buchanan High School.
Namun begitu, pengorbanan dan kasih seorang bapa tidak berhenti di situ apabila Robert membuat keputusan bagi menggantikan tempat anaknya, menjadi pasangan kepada teman wanita Carter untuk pergi menghadiri acara pesta tari tersebut.
Biarpun anak lelaki mereka yang sepatutnya menyarungkan gelang corsage pada pergelangan tangan Kaylee Suders, 18, tetapi atas dasar simpati, Robert dan isterinya merancang sesuatu untuk mengembirakan hati teman wanita anaknya itu.
Sejak kematian Carter sebulan yang lalu, Kaylee jatuh murung dan membuat keputusan untuk tidak menghadiri prom. “Saya putuskan untuk tidak menghadiri acara itu, tetapi setelah dipujuk bapa mendiang Carter dan menyatakan yang dia sudah memberitahu perkara itu kepada pihak sekolah, saya sedar betapa dia mahu membuat saya gembira jadi semestinya saya perlu pergi,” jelas Kaylee.
Robert memberitahu sumber yang dia tahu mendiang anaknya benar-benar cintakan Kaylee. Bahkan, mereka sudah mempunyai perancangan untuk masa hadapan bersama. Ibu Carter turut berharap ini sedikit sebanyak dapat mengubat kesedihan Kaylee sekaligus menjadi memori terindah buat gadis remaja itu.
“Kaylee adalah sebahagian keluarga kami. Saya tahu suatu hari dia akan kembali jatuh cinta, berkahwin dan mempunyai kehidupan yang hebat,” tambah Kelly.