Status ‘anak derhaka’ atau ‘anak kurang ajar’ menjadi pantang pada setiap ibu bapa. Begitu pentingnya didikan dan kasih sayang yang perlu diberi supaya si anak terjaga dalam akhlak serta moral.
Jika dilihat dalam dada akhbar kini terdapat banyak sangat kes anak mula berani naik tangan dan sampai membunuh orang tua mereka. Nauzubillah Min Zalik..
Benar bukan mudah untuk membesarkan si anak, pasti ada onak cabaran yang tidak terduga. Ditegaskan setiap usaha pasti ada hasilkan. Para ibu dan ayah yang mula mengesan sikap ‘panas’ anak, jangan takut atau tertunggu untuk mengajar si anak. Dibiar lama boleh mendatangkan banyak perkara buruk..
Rasa buntu untuk mengawal anak yang bersikap kurang ajar? Wanista kongsikan beberapa tips dari ibu bapa dari negara barat tentang cara mereka berhadapan anak yang ‘tidak makan saman’.
#1 Jangan balas
Bila anak mula bercakap kasar seperti menengking atau menjerit kepada anak, tak perlu membalasnya. Cukup dengan berkata tegas “Jangan cakap macam itu dengan ibu/ayah. Ibu/Ayah tak suka” dan pergi dari situ. Tidak perlu anda sambung meneking, begitu juga apabila si anak memanggil anda dengan kata kesat. Balas dengan amaran “Kamu boleh panggil kami dengan ayat kesat atau apa sahaja tapi bila kami tidak benarkan kamu pergi ke rumah teman-teman maknanya tidak. Ibu/ayah juga melarang kamu menggunakan komputer selama 2 jam. Sila tunjukkan akhlak yang baik jika mahu tinggal dirumah ini.”
Mungkin nampak kasar atau kejam tapi ingat melentur buluh biarlah dari rebungnya.
#2 Jangan putus asa
Ada sesetengah ibu bapa putus asa selepas beberapa hari. “Lantaklah, biar apa nak jadi. Nanti pandailah budak tu fikir sendiri.”
Siapa lagi yang membentuk sikap anak kalau bukan kita? Ini tugas kita sebagai ibu bapa untuk mendidik tentang hormat-menghormati. Masa depan keluarga anda, anda sendiri yang tentukan.
#3 Beritahu perasaan sebenar anda
Siapa tak sedih kalau si anak menutur kata benci pada diri kita.
Penting untuk anda sentiasa ingatkan si anak yang ibu bapa mereka juga seorang manusia biasa. Gunakan teknik empati atau psikologi pada mereka seperti, “Ibu/ayah sedih bila kamu cakap kamu benci kami. Kami tidak pernah membenci kamu” atau”Ibu/ayah minta maaf”. Cara begini boleh menyedarkan si anak tentang perkara ‘hormat’. Iyalah, walaupun orang buat jahat tapi kita masih boleh balas dengan baik.
#4 Set masa bersama
Biasalah bila orang bersikap kasar, kurang ajar atau negatif kita sering kaitkan dengan ‘kurang kasih sayang’.
Percayalah, ia memang betul. Orang yang kurang diberi perhatian atau kasih dan sayang hasilnya jadi pemarah, kurang sabar dan panas baran. Cuba luangkan masa dengan anak bukan sahaja bermain, keluar bersiar-siar tapi yang paling penting dengan bertanyakan masalah atau perkara yang sukar sedang mereka hadapi.
Selamat beramal!