Doktor yang melakukan prosedur penyingkiran lipoma pada aktres Han Ye Seul bertindak memohon maaf kerana membatalkan operasi pembedahan dalam satu temu bual yang dimuatkan ke Youtube.
Dr Lee Ji-hyun dari Cha Medical Center di Gangnam di sini mengakui merosakkan kulit dari dalam ketika mengeluarkan lipoma.
“Lebih mudah untuk membuang tumor jika pembedahan dilakukan tepat di sekeliling lipoma, tetapi memandangkan dia seorang pelakon, saya mencadangkan mengeluarkannya dari bawah, jadi dia boleh menutup bekas luka itu dengan pakaian,” kata Lee.
Dr Lee juga menjelaskan bahawa dia tidak memotong tisu kulit dari bahagian lain tubuh aktres itu atau penderma, seperti dakwaan ke atasnya sebelum ini.
Han telah dipindahkan ke sebuah hospital yang pakar dalam pemulihan kulit terbakar untuk menerima rawatan susulan.
“Saya membuat keputusan yang salah dan saya sangat menyesal, saya ingin meminta maaf kepada Han Ye Seul sekali lagi,” kata Dr Lee.
Terdahulu, aktres 36 tahun ini berkongsi foto pembedahannya di laman Instagram, menyuarakan rasa kecewa terhadap prosedur yang dijalankan oleh pusat perubatan tersebut.
Info Lipoma
Lipoma ialah ketumbuhan sel lemak atau sel ‘Adipose’. Ia terjadi dikalangan satu peratus manusia dan diklasifikasikan sebagai jenis ketumbuhan benign (bukan kanser).
Lipoma boleh berlaku di bawah permukaan kulit, di dalam otot atau di antara lapisan otot. Ia biasanya bermula sebagai benjolan kecil, mempunyai bentuk bucu yang simetri, lembut seperti donut dan tidak sakit jika dipicit.
Sekiranya Lipoma itu tidak menimbulkan sebarang masalah seperti lemah atau kebas kepada pesakit dan tiada sebarang perubahan kepada tulang disekelilingnya, ia tidak perlu dibuang. Namun, anda harus mendapatkan rawatan sekiranya;
- Ia membesar dengan cepat
- Bentuknya berubah
- Ia menjadi keras
- Ia mengeluarkan nanah atau cecair
- Ia menyebabkan anda rasa kebas, sakit atau tidak selesa
- Rasa sakit apabila dipegang atau ditekan
Lipoma boleh dibuang dengan mudah secara pembedahan. Sekiranya kecil, hanya bius setempat diperlukan. Namun jika dibiarkan lama dan membesar, doktor mungkin perlu memberi bius penuh bagi membolehkan ia dibuang.