Cho Hyun-min, yang merangkap naib presiden kanan di Korean Air Lines Co Ltd dilucutkan jawatan dari syarikat penerbangan itu selepas bersikap biadap terhadap seorang pegawai sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai.
Wanita tersebut sedang disiasat polis kerana didakwa menyimbah air ke muka pegawai agensi pengiklanan pada satu mesyuarat.
Disebabkan hal itu, bapanya yang juga pengerusi Korean Air, Cho Yang-ho bertindak meminta maaf atas tingkah laku memalukan anak perempuannya itu.
“Sebagai pengerusi Korean Air dan seorang bapa, saya sangat menyesal kerana kebodohan dan kesalahan anak perempuan saya, semuanya adalah tanggungjawab saya,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, kakak Cho, Cho Hyun-ah, atau Heather Cho, menjadi tajuk utama pada tahun 2014 berhubung kes kemarahan apabila hilang sabar dengan cara dihidangkan kacang macadamia ketika berada dalam kelas pertama pesawat itu.