Berbeza dengan minyak wangi jenis EDP (Eau de Parfum) atau EDT (Eau de Toilette), wangian jenis body mist selalunya tidak akan kekal lama. Harumannya juga tidak berbau begitu kuat dan lebih ‘ringan’.
Harganya juga selalunya jauh lebih murah dan senang didapati walaupun di kedai ubat dan farmasi seperti Guardian dan Watson. Malah ada rangkaian body mist yang dijual dengan harga bawah RM 10. Untuk pengetahuan anda, hal ini adalah kerana tambahan air ke dalam produk ini yang lebih banyak. Berbanding minyak wangi EDP yang mengandungi 8-15% pati minyak wangi, biasanya body mist hanya mengandungi 2-5% sahaja selain kandungan alkohol yang tinggi yang membuatkan baunya lebih cepat hilang.
Namun pilihan bauan body mist ini juga tidak kurang hebatnya, malah ada bauan yang kita lebih suka daripada rangkaian body mist berbanding rangkaian minyak wangi. Malah untuk sesetengah situasi, penggunaan body mist lebih sesuai kerana tidak keterlaluan.
Mungkin boleh cuba beberapa tips ini untuk membuatkan bau body mist tahan lebih lama.
Guna mandian bauan yang sama
Produk rangkaian haruman juga selalunya mempunyai mandian daripada bau yang sama. Untuk buat bauan tahan lebih lama, pastikan anda mandi dengan shower cream atau shower gel dari haruman yang sama.
Sapu losyen sebelum sembur
Kulit yang lembap akan menyerap dengan lebih optimum. Sebaiknya guna perfume lotion jenis bauan sama.
Sembur selepas mandi
Selepas mandi, liang-liang roma akan terbuka, haruman ini akan menyerap dengan lebih baik dan tahan lebih lama.
Sembur pada kulit
Sama juga konsepnya seperti pemakaian minyak wangi, semburan pada kulit akan membuatkan haruman tahan lebih lama. Sembur pada bahagian nadi seperti bahagian dalam pergelangan tangan, tekak, lurah payudara, belakang lutut dan bahagian dalam siku.
Kenakan pada rambut
Sembur sedikit pada sikat rambut dan ratakan. Tapi kami tak sarankan buat selalu kerana bimbang kimia tersebut merosakkan rambut pula.
Sembur pada bebola kapas
Satu lagi alternatif, sembur pada bebola kapas, dan letakkan pada bahagian tengah baju dalam dengan hati-hati, Pastikan ia betul-betul “tersorok” dan kemas ya.
Bawa bersama (on the go)
Hakikatnya, body mist memang tidak akan kekal lama. Jadi rutinnya, anda perlu bawa ia bersama di dalam beg tangan dan sembur semula beberapa jam sekali. Beli saiz travel pack yang lebih kecil atau isi semula dalam bekas semburan yang kecil.
Mudahkan? Selamat Mencuba!