Siapa yang tidak kenal dengan si tinggi lampai Kendall Jenner? Sejak awal minggu ini, kecoh media-media hiburan menjaja cerita bahawa Kendall sudah pun mengikut jejak langkah kesemua kakaknya termasuk adiknya Kylie untuk menyuntik fillers di bibir bagi mendapatkan bentuk bibir yang mungil dan tebal.
Khabar angin itu pada awalnya disambut hambar tetapi selepas beberapa foto Kendall yang dilihat cuba menutup bahagian bibirnya kala muncul di khalayak umum ini tersebar, ternyata berita itu mungkin ada kebenarannya.
Baru berusia 22 tahun, Kendall secara tidak langsung membuatkan peminatnya tertanya-tanya dengan perbezaan bentuk bibirnya yang terkini.
Menurut sumber, supermodel itu yang kini berada di Paris muncul di tempat awam pada 5 April semalam, namun telah dengan sengaja menutup bahagian bibirnya sebaik menjadi buruan paparazi.
Walau bagaimanapun, ini bukanlah kali pertama beliau dikaitkan dengan suntikan fillers kerana khabar angin itu pernah tersebar tahun lalu.
Sekitar 2016 sebelum mengeluarkan produk kosmetiknya sendiri, Kylie Jenner telah mengejutkan ramai dengan bibir baharunya yang lebih seksi dan beliau sendiri telah mengaku bahawa dirinya berbuat begitu kerana dia pernah diperli seorang lelaki yang mengatakan bahawa bibirnya yang nipis itu tidak akan memberi apa-apa rasa apabila dicium.
Sehingga kini, Kendall belum pun mengemukakan sebarang respon terhadap perubahan bibirnya yang disedari ramai pihak, sebaliknya memilih untuk berdiam diri mungkin kerana belum bersedia untuk menjelaskan hal sebenar.