Masuk sahaja bulan April ada yang berpusu-pusu mahu ke Thailand. Eh, sebab apa?
Rupanya semua nak main air bersempena Festival Songkran. Hampir dari segenap pelusuk dunia ke Thailand untuk meraikan Festival Songkran. Sebenarnya Songkran ini mempunyai pelbagai maksud tersendiri dan bukan hanya semata-mata dengan permainan air sahaja.
Sebelum anda nak ke Thailand tu, apakata kita belajar dulu tentang Festival Songkran…
#1 Tahun Baru
Disambut pada tarikh 13 April setiap tahun iaitu bersempena tahun baru dalam kalendar Buddha. Namun Songkran lebih dikenali sebagai Tahun Baru Thailand. Songkran juga bermaksud ‘perubahan’ atau ‘tranformasi’ dalam bahasa pinjaman Sanskrit.
#2 Ritual Rohani
Sambutan Songkran mempunyai ritual keagamaan yang dimulakan pada awal pagi seperti melawat kuil dan memberi makan kepada sami Buddha. Setelah itu menyiram air pada patung Buddha sebagai simbolik membersih diri dari segala dosa dan nasib buruk.
#3 Bukan Air Sahaja
Berbeza dengan orang muda, mereka meraikan Songkran dengan pesta air. Dimana-mana sahaja anda akan disimbah air sepanjang 13 April. Sehingga trafik juga ditutup untuk digunakan sebagai arena peperangan air. Bukan setakat air, acara membaling kapur (bedak wangi) pun ada!
#4 Bukan di Thailand sahaja
Kalau anda rasa tak sempat nak buat pasport baru untuk ke Thailand, di negara kita perayaan Festival disambut tegar lebih lagi di negeri-negeri sempadan Thailand seperti di Perak dan Kelantan. Kebanyakan disana terdapat kampung-kampung asal dari penduduk Siam.
#5 Makan!
Benda paling wajib kena ada masa perayaan ialah makanan! Segenap makanan orang Thailand anda boleh makan tak kiralah dari Tom Yum, Miang Kam atau sebut sahaja mahu apa, pasti ada. Dengar cerita di Genting Highlands akan diadakan promosi makan bersempena Festival Songkran pada 6 hingga 14 April 2018. Paling best ia bufet makan malam dengan juadah Laab Gai, Toong Tong, Tom Yum, Nasi Goreng Nenas, Pulut Mangga Kari Hijau, Salad Thai dan banyak lagi! Bayaran hanya RM88 (dewasa), RM44 (kanak-kanak) untuk hari Ahad hingga Khamis dan RM92 (dewasa), RM46 (kanak-kanak) pada hari Jumaat dan Sabtu.
#6 Pantang-larang
Bukan sahaja berkaitan dengan air, setiap wilayah di Thailand mempunyai pantang larang berbeza pada hari Songkaran. Wilayah tengah biasanya mereka akan melepaskan haiwan seperti burung, ikan dan sekarang kerbau dan lembu. Manakala untuk selatan Thailand pula mereka diharuskan bekerja dan elak berbelanja, tidak menyakitkan orang atau haiwan dan tidak bercakap bohong. Di utara pula mereka menggunakan bunga api untuk menghalau segala badi buruk pada 13 April.
Jadi dah faham ya semua, Songkran bukan festival air semata-mata.