Bak kata orang, “first impression” itu penting. Ini kerana, sebelum mengenali hati budi kita, orang akan lekas membuat tanggapan ringkas menerusi penampilan luaran kita dan adalah amat mustahak untuk kita sentiasa bersedia dalam keadaan apa pun -menjaga penampilan diri supaya aura positif diri itu sentiasa terpancar buat semua yang melihat.
Tidak susah mana pun hendak menjaga penampilan diri, biar pakai pakaian yang tidak berjenama asalkan kelihatan rapi dan kemas. Untuk pengetahuan semua, Wanista kongsikan panduan bagaimana hendak kelihatan sempurna dengan mengelak lapan gaya ini jika tidak mahu dilabel sebagai selekeh.
#1 Elak Pakai Pakaian Lusuh
Helaian fesyen warna hitam memang bisa buat penampilan sesiapa sahaja kelihatan anggun dan bersesuaian. Namun, jangan cari pasal dengan mengenakan pakaian hitam yang warnanya boleh dikategorikan sebagai lusuh.
Jika mahu pakai hitam, cari warna pakaian yang betul-betul ‘hitam legam’ dan bukannya tona hitam yang samar-samar.
Tips untuk mengelakkan baju hitam anda cepat lusuh, basuhkannya secara berasingan dengan air sejuk menggunakan tangan. Boleh campurkan air sejuk dengan serbuk kopi hitam atau teh semasa membasuh. Jenis material atau fabrik kain juga boleh mmepengaruhi tempoh ketahanan pakaian.
#2 Elak Pakai Pakaian ‘Tidak Putih’
Sama seperti pakaian hitam tadi, jika hendak pakai pakaian putih, cari warna putih yang benar-benar putih. Bukannya putih kekuningan atau warna putih yang nampak lebam.
Sebenarnya agak sukar untuk menjaga pakaian warna putih kerana lama-kelamaan, udara akan mempengaruhi warnanya untuk menjadi kekuningan. Boleh campurkan hydrogen peroxide, soda bikarbonat dengan jus lemon dalam air basuhan baju putih yang dibasuh berasingan menggunakan tangan.
#3 Jangan Senseng Lengan Tanpa Berlipat
Kalau ye pun anda sedang moody dan malas, jangan sesekali menolak lengan baju ke atas tanpa melipatnya terlebih dahulu. Jika benar mahu senseng lengan, lipat ia dengan rapi agar tampak sempurna dan kemas. Dengan cara itu, anda tidak akan kelihatan selekeh.
Tonton Cara Melipat Lengan Baju Dengan Kemas
#4 Pastikan Tiada Kelemumur Pada Bahu Pakaian
Okay! Penulis pernah melihat cebisan kelemumur bertaburan di bahagian bahu pakaian seseorang semasa berdiri sesak di dalam KTM. Naik geli dibuatnya. Mungkin bukan salah dirinya kerana dia tidak perasan. Tetapi, itu salah satu perkara yang perlu diberi perhatian. Lebih-lebih lagi jika anda memakai pakaian berwarna gelap.
Pastikan anda mencuci rambut pada kadar yang sepatutnya iaitu selang 2 atau 3 hari sekali bagi mengelakkan kulit kepala mengumpul terlalu banyak sel kulit mati yang kering lalu jatuh menjadi cebisan kelemumur menjijikkan. Ikat rambut dengan kemas untuk mengelak partikel kelemumur jatuh tanpa disedari.
#5 Elak Saratkan Diri Dengan Aksesori
Nak memakai aksesori pun kenalah berpada. Jika memakai pakaian yang sarat dengan corak, cukup sekadar memakai cincin yang ringkas dan kalau boleh, elak memadankan cincin, gelang, anting-anting atau rantai berbatu dalam satu masa yang sama.
Jika hendak memakai aksesori berbatu atau berperincian menonjol, pakai satu sahaja dalam satu masa… melainkan anda memakai aksesori halus seperti dainty necklace bersama subang terletak, itu bisa dipakai secara berganda.
#6 Janggut Tidak Terurus
Lelaki selalu fikir yang mereka akan jadi lebih maskulin apabila membela janggut dan jambang yang tebal walhal, itu sebenarnya menampakkan seolah mereka seorang yang malas menjaga keterampilan diri. Untuk itu, setiap hujung minggu… rajinkan diri untuk trim jambang dan janggut supaya kemas senantiasa. Jangan tunggu hujung bulan, bila dah nampak berserabut baru hendak buang.
#7 Elak Seluar Londeh
Baik lelaki atau wanita, elak memakai seluar yang londeh. Ambil masa untuk pergi ke beberapa butik atau gedung pilihan untuk mencuba dan mencari saiz seluar yang tepat dengan saiz punggung dan pinggang anda.
Maklum sahajalah, tak semua beruntung dikurniakan bentuk punggung yang penuh. Pastikan jeans atau seluar slack yang dibeli itu memeluk rapi pinggul dan bahagian punggung untuk nampak kemas.
#8 Katakan Tidak Pada Mekap Yang Bercapuk
Maskara bergumpal, lipstik merekah, pemerah pipi tidak rata? Sila elak memakai mekap yang begitu saban hari jika tidak mahu nampak selekeh.
Pastikan anda memeriksa solekan anda setiap dua jam sekali agar anda tahu keadaan wajah semasa anda.
Sediakan semburan air seperti mist spray atau semburan penyengar mekap yang boleh dibeli dari mana-mana farmasi untuk disembur pada wajah agar solekan tidak kering dan kulit kekal lembap. Dengan cara itu, solekan akan lambat terjejas.
Selamat beramal! ❤