Pantang nampak benda cantik, pantanng nampak benda baru di butik dan di kedai… tangan anda semena-mena ringan keluarkan wang untuk membeli barangan tersebut mengikut nafsu meskipun tidak ada keperluan yang penting pun untuk anda memilikinya.
Apakah sifat itu normal? Ya, normal untuk wanita macam kita-kita ini. Jangan risau, sebab anda tidak keseorangan kerana penulis juga begitu… membeli tanpa berfikir.
Lebih parah, kadang-kadang membeli tapi sampai sekarang tak pernah pakai pun barang tu. Tapi sebab apa? Sebab cuma untuk ‘ada’ sahaja. Bila kita tengok orang ada, kita pun teringin nak ada juga. Bak kata pepatah, “Ukur baju di badan sendiri”.
Mustahaknya duit itu diperlukan kita benar-benar dalam kesempitan betul tak? Tengah ada memang seronok nak berjoli, tapi bila tak ada? Untuk itu, jom Wanista kongsikan cara bagaimana wanita-wanita yang shopaholic macam kita ni boleh simpan duit untuk waktu-waktu kecemasan.
#1 Tukar Barangan Dengan Kawan
Anda pun ada kawan baik yang suka shopping? Bila membeli bersama, cuba cari dan beli barang yang anda berdua suka supaya kemudian anda boleh bertukar barangan dan meminjam antara satu sama yang lain. Dengan cara ini, bukan anda je boleh berjimat, kawan anda juga!
#2 Jaga Barangan Sebaiknya
Orang kata kalau nak jimat beli barang yang mahal. Ternyata, frasa itu tidaklah begitu benar, kerana kalau beli barang mahal dan berjenama sekalipun tetapi orang yang memakainya itu kasar belaka, barangan itu tetap akan rosak.
Pokoknya perlu jaga setiap barangan yang kita beli sebaiknya, cuci dan bersihkan kasut setiap kali lepas memakai, simpan beg tangan yang tidak dipakai dalam beg kalis habuk, gantung baju berfabrik sensitif dengan hanger serta basuh pakaian mudah reput dengan tangan secara berasingan. Hasilnya, barang-barang boleh dipakai lama tanpa perlu membeli yang baru sebagai ganti.
#3 Kawal Selera
Ada wanita yang tidak begitu suka membeli-belah tetapi obses sangat untuk makan di restoran-restoran mahal. Katanya suka mencuba selera baru, tapi akhirnya makanan itu akan hadam dan pergi begitu sahaja kan?
Kalau boleh, hadkan makan di restoran mahal mungkin sekali sebulan, dan setiap kali makan di restoran minum sahajalah air yang harganya paling murah dalam menu. Jika makan di McD atau KFC, pesan sahaja set ala carte!
Rancang perbelanjaan makan tengahari di pejabat, mungkin RM10 sehari (beli makanan harga RM6) dan selebihnya RM4 boleh simpan dalam tabung.
#4 Nikmati Kejutan Di Bundle!
Pernah pergi bundle? Bundle banyak menjual pakaian dan aksesori berjenama dari luar negara pada harga murah tau! Jika anda boleh bersabar untuk menyelak helaian pakaian satu-persatu dan tahan keadaan yang berhabuk, pergilah membeli-belah di bundle.
Pengalaman penulis masa waktu belajar dahulu manalah ada duit untuk beli baju baru… jadi penulis dengan kawan-kawan akan pergi bundle. Pernah sekali, penulis beli baju jenama “Oscar de la Renta” di bundle pada harga RM5! Yes! Dah lah penulis memang suka pereka fesyen Oscar de la Renta tu, OMG!
#5 Tunggu Masa Sale!
Waktu jualan murah adalah masa terbaik untuk beli barangan berjenama pada harga yang sangat berbaloi-baloi. Seperti penulis, penulis akan kerap masuk ke H&M, Zara, Bershka, Monki dan banyak lagi gedung-gedung fesyen lain untuk melihat-lihat tanpa membeli. Sambil tu penulis akan mula mengumpul duit. Dengan cara ini, kita tidak akan ketinggalan waktu sale mereka.
Sebaik je musim sale sampai, ha masa itu lah penulis akan terus sambar barangan yang penulis dah lama idamkan. Dari harga beratus dah tinggal berapa puluh ringgit je.
Oh jangan lupa, membeli dari atas talian juga boleh menjimatkan kerana rata-rata barangan di kedai akan dijual pada separuh harga di laman atas talian. Klik sahaja butang sale dan semua barangan harga murah akan dipaparkan!
Berjimat adalah suatu kemestian kalau nak hidup senang-lenang tanpa sebarang masalah kewangan. Selamat beramal! ❤