Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) menyeru wanita-wanita yang mengalami diskriminasi jantina di tempat kerja untuk bersuara dan berkongsi kisah mereka.
WAO baru-baru melancarkan kempen ‘Wanita Tersisih’ (Invisible Women) sebagai landasan untuk memperluaskan suara wanita yang mengalami diskriminasi jantina. Mereka boleh berkongsi melalui laman web kempen invisible.com.my.
“Tinjauan WAO menunjukkan bahawa 40% wanita hamil mengalami diskriminasi di tempat kerja. Justeru itu, kami ingin memberi gambaran di sebalik statistik tersebut bagi menunjukkan impak ketara diskriminasi jantina terhadap kehidupan wanita,” kata Presiden WAO, Carol Chin.
“Wanita sering disoal ketika temuduga kerja, samada mereka merancang untuk mempunyai anak, malah bagi golongan wanita yang hamil pula berpotensi disisihkan di tempat kerja. Jika wanita tersebut berhenti kerja sementara untuk membesarkan anak-anak, mereka akan mengalami kesukaran untuk memasuki semula pasaran kerja”, jelas pengarah seni Leo Burnett, Lee Shyyi.
Matlamat utama WAO untuk menyokong Akta Kesamarataan Jantina yang akan melindungi daripada diskriminasi jantina. WAO memerlukan input dan sokongan orang ramai untuk menyokong tindakan ini.
Kempen ini akan berakhir dengan sebuah pameran seni yang menampilkan kisah-kisah wanita yang bermula 8 hingga 18 Mac 2018 di White Box Theatre, Publika.
Jika anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kempen ini, layari: invisible.com.my