Masuk hospital gara-gara menggunakan Kylie Lip Kit tiruan, seorang gadis berusia 18 tahun, Rachael McLaughlin, menjelaskan bahawa penampilan bibirnya berubah drastik sebaik menggunakan gincu popular yang baru dibelinya itu.
Membengkak seperti mahu pecah, pada awalnya Rachel merasakan hampir seluruh mukanya kebas sebelum bibir semakin membengkak dan merekah umpama belon sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Menurut laporan, gincu ‘berjenama’ itu cuma berharga £3 (RM17) dan dibeli dari sebuah akaun penjual kosmetik di Facebook.
Jelas pihak keluarga Rachel, sejak insiden itu berlaku, pemegang akaun Facebook yang bertanggungjawab menjual kosmetik berjenama palsu itu lesap serta-merta dan tidak dapat dikesan.
Sebelum ini, kes yang sama pernah berlaku terhadap seorang lagi gadis berusia 19 tahun, Larissa Reynolds, sekitar Oktober tahun lalu.
Larissa berkata, bibirnya membengkak seperti seekor lintah gemuk beberapa jam selepas menggunakan pengilat bibir jenama Kylie Cosmetics.
“Pada awalnya bibir saya terasa seperti ditusuk-tusuk sebelum membengkak besar dan rasa seperti bibir saya mahu tercabut”.
Tambah Larissa lagi, ia cumalah tiruan kepada pengilat bibir Kylie Cosmetics warna “Love Bite” kerana dibeli pada harga serendah £5 (RM28).
Untuk pengetahuan semua, satu tiub gincu asli daripada Kylie Cosmetics adalah berharga sekitar RM60 untuk pengilat bibir hingga RM115 untuk Kylie Lip Kit.
Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dalam membuat pembelian kosmetik berjenama daripada penjaja online kerana dikhuatiri ia bukanlah produk asli, lebih-lebih lagi dijual pada harga yang sangat murah.
Tonton Video Cara Kesan Kylie Lip Kit Tiruan