Keratan kolum kecil dari akhbar Sinar Harian berlegar-legar di paparan media sosial. Apa yang menarik minat untuk ramai berkongsi keratan tersebut ialah ia mengenai info tentang ciri-ciri mengenal pasti individu LGBT yakni dikenali sebagai gay (lelaki) dan lesbian (perempuan).
Jika dilihat secara logiknya ciri-ciri yang disenaraikan terlalu awam atau seolah-olah tangkap muat sahaja.
Ia tidak sahaja menjadi perhatian rakyat Malaysia tapi tahukah anda, cebisan info pendek ini sudah dikongsi ke serata dunia. Tabloid besar seperti Washington Post, Huffington Post, New Zealand Herald dan banyak lagi telah membincangkan isu ini.
Info yang diketengahkan oleh Sinar Harian sangat tidak relevan dan apakah ia hanya dilihat dari luaran. Ambil contoh lelaki gay ‘suka simpan janggut dan misai’, penulis rasa ayah malah datuk penulis simpan juga janggut dan misai. Adakah mereka juga tergolong dengan kaum ini?
Pendedahan seperti ini boleh menimbulkan salah-faham dan ya, ia cara yang salah mendidik masyarakat. Juga secara tidak langsung memberi kesan kepada gaya hidup sesetengah individu. Bayangkan perempuan yang kuat cemburu dituduh lesbian pula!
Diharap selepas ini info tidak kira dimana-mana medium sekalipun lebih telus dan dibincangkan secara mendalam.