Bukan mudah untuk kurus dan dalam masa yang sama, individu berkenaan harus mempunyai hati yang kental bagi mematuhi segala amalan diet agar impian hati mahu memiliki tubuh badan yang cantik dan sihat tidak terkubur begitu sahaja.
Saban tahun, wanita lazimnya akan menjadikan “KURUS” sebagai salah satu azam tahun baru mereka namun berapa ramai yang benar-benar komited?
- Gif -Tumblr
Boleh dibilang dengan jari, hanya beberapa orang sahaja yang gigih berusaha sehingga ke titisan darah yang terakhir demi mencapai matlamat “KURUS” tersebut tetapi selebihnya… terus bergelimpangan tewas di medan perang kerana tergoda dengan nafsu makan yang tidak terkawal serta dilanda kemalasan saat otak kata “Jom bersenam!” tetapi hati kata “Esoklah…”, “Nantilah…”, “Lain kalilah…”.
Untuk tahun 2018 ni, Wanista cadangkan anda untuk lakukan lima perkara mudah ni yang sedikit sebanyak dapat membantu anda semua mencapai target!
#1 Mencangkung
Kalau anda perasan kanak-kanak suka mencangkung bila mereka sedang merehatkan diri. Banyak kebaikan mencangkung selain untuk membuatkan tubuh berasa relaks sekaligus menekan tegang otot yang ada pada punggung, perut, pinggul serta sekitar peha, bahkan regangan dengan cara mencangkung boleh memperbaiki sistem penghadaman. Kadang-kadang perut buncit tu sebab kembung dek penghadaman yang tidak lancar.
- Sumber: thecusp.com.au
Mencangkung juga boleh menaikkan kembali punggung yang sudah ‘jatuh’. Boleh cuba mencangkung selama 3 minit bila ada kelapangan di rumah nanti. Cara mencangkung atau melakukan squat terbaik adalah dengan berdiri sambil memakai tumit tinggi, kangkangkan sedikit kaki lalu mencangkung dan bertahan pada posisi tersebut selama 3 minit.
Orang mengandung pun bagus amalkan mencangkung 3 minit ni kerana mampu memudahkan proses bersalin. Tapi tak perlu pakai tumit tinggi ye. Tergolek kang susah je.
#2 Berdiri, Berdiri, Berdiri
Alang-alang balik kerja naik KTM atau MRT, apa kata jangan duduk. Kalau mahu kalori dibakar dan kurus dengan lebih mudah, boleh berdiri sepanjang perjalanan pulang. Bagi mengelakkan terasa lenguh, boleh lalaikan minda dengan penggunaan telefon pintar.
Dalam tubuh manusia terdapat lebih 300 sendi dan 800 otot yang sering beku dan tepu kerana duduk terlalu lama sewaktu di pejabat. Semakin sendi dan otot itu dibiarkan tidak aktif dan mengeras kerana jarang bergerak, apabila semakin tua ia akan menjadi semakin lemah.
Bila semua dah lemah, lagi malas nak bergerak, lagi susahlah nak kurus dek nonnnnnnn.
#3 Tidur Je!
Ramai orang cakap siapa kuat tidur orang tu akan gemuk. Walhal mengikut kajian, pakar mendapati orang yang kurang tidur itulah akan berisiko untuk naik berat badan. Bila seseorang sukar untuk tidur malam, tubuh akan lekas berasa lapar memandangkan tiada aktiviti yang hendak dilakukan sebaliknya perut akan menghantar signal ke otak untuk berasa lapar.
- Sumber: Elite Daily
Lebih lama anda berjaga malam, lebih laparlah perut anda tu! Jadi, disiplinkan diri untuk tidur sekurang-kurangnya 8 jam setiap hari. Jika tidak boleh tidur, paksa diri. Lakukan regangan agar tubuh berasa penat seterusnya lekas lena.
#4 Baring & Mengeliat!
Siapa kata katil tu hanya untuk kita melepaskan lelah dan penat yang dah dikumpul sepanjang hari? Kalau dah malas sangat nak bentang tikar yoga dan buat pergerakan tubuh, baring sahaja di atas katil dan mengeliat sepuas hati. Tetapi, jangan pula sampai tergeliat ye?
Baring di tengah-tengah katil kemudian cuba kangkangkan kaki dan bayangkan seolah anda sedang cuba membuat gerakan “splits”. Panjangkan kaki sepanjang dan setegang yang boleh, cuba capai penjuru katil dengan kaki anda tu.
- Foto – Pinterest
Lakukan regangan ini setiap kali sebelum tidur.
Regangkan dapat bantu menghilangkan tekanan perasaan, mengurangkan risiko untuk saraf dan tulang anda tercedera serta menurunkan kadar gula dalam darah.
#5 Tengok TV
Orang malas memang suka melepak depan TV sambil tonton drama secara maraton kan? Kalau malas tapi masih nak badan cantik, okay… boleh je tonton drama kegemaran anda tu sampai ‘lebam’, tapi dengan syarat masa iklan sedang bersiaran, waktu tulah anda KENA bersenam sebentar.
- Foto – Maskot
Paling tidak iklan 10 minit je kan? Boleh lari setempat sepanjang iklan bersiaran atau mungkin lompat bintang. Nanti bila drama dan mula, berhenti bersenam dan sambunglah tonton balik 🙂
Ingat! Bila ada iklan je kena senam tau.
Moh le jadi seksi sama-sama. Selamat beramal! ❤