Bersempena Tahun Baru Cina yang menjelang tiba, rangkaian kaca mata jenama Polaroid baru-baru ini ada memperkenalkan koleksi edisi terhad terbaharu yang ranggi dan lebih sensasi, pastinya bersesuaian dengan gaya hidup si pemakai hari ini.
Lain daripada yang lain, kaca mata oleh Polaroid musim ini menonjolkan rekaan bingkai ikoniknya, PLD 6009/F/S, namun diserlahkan dengan palet rona yang lebih memukau sambil dihiasi simbol berbentuk tulisan yang melambangkan tahun anjing -seperti tertera dalam kalender purba Tahun Baru Cina untuk terbit aura eksentrik berjiwa klasik.
Bukan itu sahaja, setiap satunya dibuat menggunakan teknologi terkini yang membolehkan lensa untuk menghalang pantulan silau dengan berkesan bahkan mampu membantu si pemakai melihat dengan jelas meskipun berada di bawah terik matahari ekstrem.
Rangkaian Polaroid Eyewear edisi terhad sempena tahun anjing 2018 ini terdapat dalam dua pilihan warna lensa termasuklah merah dan kuning keemasan. Dalam masa yang sama, batang bingkai hitamnya ditambah seri dengan rona merah pada bahagian dalam sambil dihiasi kalimat Cina.
Koleksi ini boleh dibeli di mana-mana cawangan kaca mata terkemuka seluruh Malaysia.