Seperti yang kita tahu, McDonald’s Malaysia adalah antara jenama peneraju makanan segera di Malaysia dan menu yang disediakan sememangnya sangat popular dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Selain amat mementingkan kebersihan penyediaan makanan serta kualiti servis yang diberikan, McDonald’s Malaysia sentiasa komited untuk terus memenuhi keperluan semua pelanggan terutamanya umat Islam yang merupakan komuti majoriti di Malaysia.
Diumumkan, sebanyak 15 restoran McDonald’s telah dilengkapi dengan kemudahan surau dan jumlah itu dijangka bakal bertambah selari dengan penubuhan rangkaian baharu restotan jenama itu di seluruh negara dalam jangka masa terdekat.
Ia akan beroperasi menerusi beberapa proses pengubahsuaian.
Menurut Mohd. Fairul Maan selaku pengarah operasi, reka bentuk restoran itu bakal dipadankan dengan fasiliti tersebut demi melengkapkan keperluan para pelanggan beragama Islam khususnya yang sudah berkeluarga.
“Bagi tahun ini, kita merancang untuk mengubahsuai 20 lagi restoran dengan mengambil kira model surau di samping pelbagai kemudahan lain yang dilengkapi teknologi canggih termasuk kios pesanan layan diri dan lain-lain lagi,” tambahnya.
Untuk pengetahuan semua, McDonald’s Malaysia memiliki 265 buah restoran di seluruh negara dengan seramai kira-kira 15,000 pekerja.