Sambungan daripada episod pertama penjelajahan ke tanah suci…
BACA: Panduan Umrah Episod 1: Persediaan Percutian Rohaniah Yang Tak Boleh Dibuat “Last Minute”!
Ayuh kali ini penulis kongsikan tips sepanjang berada di Madinah dan Makkah bagi menunaikan ibadah Umrah.
1. Sebelum mendaftar dengan agensi pelancongan, pastikan jarak hotel dengan tempat beribadah adalah bertepatan dengan bayaran yang dibayar bagi mengelakkan sebarang kekeliruan atau masalah setelah sampai di destinasi kelak.
2. Lazimnya, hotel yang ada di Madinah boleh dikatakan dekat dengan Masjid Nabawi jaraknya hanya berjalan kaki tetapi di Makkah, banyak kedudukan hotel yang jauh daripada Masjidil Haram tetapi perkhidmatan bas shuttle percuma yang beroperasi selama 24 jam setiap hari disediakan di setiap hotel untuk ke masjid dan dari masjid ke hotel. Bas akan ada setiap 10 minit sekali.
3. Kena kawal emosi dan banyak-banyak bersabar. Di sana tuhan akan uji, AKAN UJI tahap kesabaran kita. Penulis ni sampai hilang suara sepanjang di sana (true story) selepas penulis merungut dan membebel pada adik penulis mengapa bilik hotel yang disediakan tidak seperti yang diharapkan… (sebab, tengok dalam gambar cantik, bila sampai mengucap je lah banyak-banyak kan). Esoknya tu terus hilang suara. So, jaga mulut!
Anyway, jangan berharap hotel di sana sama cantik seperti hotel di sini. Memang hotel di sana kebanyakannya 3 bintang kerana budaya mereka beranggapan yang jemaah akan banyak menghabiskan masa di masjid. Hotel tu cuma tempat untuk mandi dan tidur. So, memang ala kadar je tahap keselesaan dia tu. MELAINKAN kalau korang duduk di hotel mewah.
4. Masa hari nak berlepas tu, tolong datang ke airport awal untuk berkumpul, jangan ada dokumen penting yang tertinggal, masukan semua dokumen penting dalam beg harian yang diberi. Pastikan barangan besi dan tajam seperti gunting untuk saie tu disimpan rapi dalam bagasi pakaian. Elak simpan barangan cecair dan krim dalam beg yang korang akan bawa sekali ke dalam pesawat tu takut tak lepas.
5. Siap-siap tukar duit riyal di Malaysia ya! Supaya tak perlu beratur panjang atau berebut dengan warga asing untuk tukar duit di kaunter kedai penukaran wang di Makkah/Madinah nanti.
6. Banyakan berzikir sepanjang perjalanan, baik dalam kapal terbang mahupun ketika menuju dari Makkah-Madinah atau Makkah-Madinah.
7. Sedekah sesungguhnya dapat menyucikan hati malah menyuburkan lagi harta kita. Jadi perbanyakan sedekah pada orang yang betul. Boleh sedekah kepada cleaner di sekitar Masjid Nabawi, Masjidil Haram dan mana-mana tempat suci yang anda pergi sewaktu Umrah di sana. Mereka ni kerja teruk siang malam tanpa henti, sanggup berpanas dan berhujan untuk menjaga kesejahteraan rumah Allah, tapi gaji mereka kecil. Sedekah 1 riyal pun dah okay 🙂
8. Jika makanan buffet yang disediakan pihak hotel tidak mengenyangkan, terdapat banyak pilihan restoran dan gerai makan di sekitar Makkah dan Madinah berdekatan hotel. Harga makanan seperti burger dan kebab umpamanya adalah sekitar 5 hingga 7 riyal. Jika tidak mahukan makanan sebegitu, boleh pergi ke kedai-kedai runcit yang ada untuk membeli snek dan sebagainya. Buah-buahan pun banyak dijual.
9. Disebabkan Makkah dan Madinah tidak pernah surut dengan umat manusia, jagalah barangan peribadi. Sewaktu di sana, ramai juga jemaah lain yang kehilangan selipar terutamanya kerana dibiarkan di rak tempat letak kasut. Oleh itu, bawa sendiri beg kasut dan bawanya bersama ke tempat solat. Kalau was-was selipar sudah ada najis, boleh letak di rak kasut masjid tetapi tetap simpan ia di dalam beg kasut yang sudah ditulis nama anda dan tawakal sahajalah supaya tidak hilang.
10. Barangan berharga lain seperti passport dan duit boleh diletakan dalam beg harian yang diberi pihak agensi.
11. Untuk pembelian sim card di sana, sila ambil gambar visa serta beberapa muka surat utama passport etrlebih dahulu. Foto-foto itu kemudian akan ditunjukan kepada si penjual sim card sebagai salah satu proses pembelian kerana mereka akan merekodkan maklumat anda. Jika tidak, anda tidak akan dibenarkan untuk membelinya.
12. Jika anda berniat untuk mewakafkan Al-Quran, hanya Al-Quran berwarna hijau dengan ukiran emas ini sahaja dibenarkan. Harga Al-Quran kecil adalah sekitar 70 riyal manakala yang besar sekitar 90 riyal.
Ramai penjaja di luar Masjid Nabawi dan Masjidil Haram akan menjual Al-Quran wakaf ini dan ia kemudian akan dicop dengan tanda wakaf pada muka surat hadapannya. Bila dah beli, nanti boleh letakannya terus pada mana-mana rak Al-Quran dalam masjid.
13. Jika anda jenis yang sembahyang setiap waktu di masjid, agak sukar sebenarnya untuk menjaga wuduk buat jangka masa yang lama. Tandas dan tempat wuduk di Masjidil Haram pula jauh berada di luar masjid, kalau ada dalam masjid sekalipun ia terletak di tingkat paling bawah. Jauh dan mengambil masa untuk berasak-asak dengan jemaah lain.
Sila bawa sendiri botol semburan yang sudah diisi dengan air daripada hotel atau boleh juga isi dengan air zam-zam yang ada disediakan di sekitar ruangan masjid. Jika rasa-rasa sudah terbatal, boleh pergi di mana-mana ruangan tersorok di sekitar masjid untuk mengambil wuduk dengan air semburan itu tadi.
14. Jika anda wanita dan lebih senang solat dengan jubah tanpa telekung, pastikan anda memakai seluar di dalam jubah. Kadang-kala boleh terlihat kulit kaki apabila bahagian belakang jubah tersingkap sewaktu sedang rukuk atau sujud.
Untuk menjaga tertib sah solat, selain pakai stokin, pastikan anda memakai seluar juga di dalam jubah okay?
15. Sila hafal niat untuk solat jenazah! Baik di Masjid Nabawi atau di Masjidil Haram, setiap waktu akan ada solat jenazah selepas solat fardhu kerana setiap hari dan setiap masa memang akan ada orang tempatan atau jemaah yang meninggal dunia.
Pahala yang korang akan dapat kalau sertai solat jenazah adalah sebesar bukit Uhud. Bukit Uhud ini dijanjikan oleh Allah… apabila sampai akhir masa nanti, ia akan turut diangkat dan dimasukan ke dalam syurga. Betapa mulianya bukit ini kan? (Bukan manusia dan haiwan je boleh masuk syurga, Jabal Uhud ni pun akan masuk syurga kerana ada sejarahnya sewaktu zaman Rasulullah dahulu.)
16. Untuk membeli-belah ole-ole, beli sahajalah di hari-hari yang terakhir. Jangan sampai ibadah umrah terganggu disebabkan tabiat membeli-belah anda tu.
Andai kata anda pergi menziarah ke Madinah dahulu dan kemudian baru ke Makkah, shopping sahajalah di Mekkah dan jika ke Makkah dahulu, shopping sahajalah di Madinah. Harga barangan adalah sama di kedua tempat dan paling penting, anda kena tahu tawar. Senang sahaja untuk menawar dengan orang-orang yang menjual di Makkah dan Madinah kerana rata-rata mereka tahu berbahasa Melayu. Kita orang Malaysia memang popular di sana tau! Mungkin sebab tabiat kita yang suka membeli-belah dan ‘peghabih’ duit 😛
17. Jika hendak beli inai serbuk, penulis nasihatkan anda beli sewaktu melawat ke bukit Jabal Rahmah. Di sekitar Jabal Rahmah memang ramai penjaja yang menjual batu permata murah dan inai serbuk.
Kalau hendak beli kurma, elok beli di Ladang Kurma. Kebanyakan agensi pelancongan memang akan bawa jemaah untuk pergi ke Ladang Kurma sebagai destinasi wajib ziarah sewaktu ibadah Umrah ni. Kat dalam kompleks ni juga, korang dibenarkan makan kurma sampai kenyang secara percuma! Kalau nak beli untuk dibawa balik sebagai ole-ole, baru bayar.
Macam-macam jenis kurma ada… baik kurma Ajwa kegemaran nabi sehinggalah kepada kurma mentah/muda yang rasanya seperti buah ciku dipanggil “Ruthab”. Harga kurma pula bergantung kepada jenis dan dikira mengikut kilogram. Untuk ole-ole kurma buat saudara dan jiran tetangga memang elok sangat beli di Ladang Kurma ni.
Nak beli Jubah? Jubah-jubah yang cantik memang banyak di Makkah berbanding Madinah. Harga jubah kain biasa tanpa kerawang sulaman adalah sekitar 100 riyal untuk tiga hingga empat pasang. Yang 20 hingga 40 riyal sepasang pun ada cuma, kainnya agak jaranglah. Kalau abaya yang dihiasi kerawang manik atau sulaman, harganya sekitar 150 hingga 300 riyal sepasang. Kalau rasa mahal boleh tawar, peniaga akan bagi murah!
18. Jika di Madinah, tempat membeli-belah paling popular adalah di Bazaar yang terletak di kawasan luar berhampiran Masjid Nabawi manakala, di Makkah pula adalah di Kompleks Al-Safwah berhadapan Masjidil Haram. Tapi kalau nak beli kacang dan coklat, beli sahaja di kedai-kedai yang ada di tepi jalan sekitar susur keluar Masjidil Haram kerana jauh lebih murah berbanding di dalam kompleks Al-Safwah.
19. Ramai tidak tahu bahawa ibadah umrah wajib untuk dilakukan sekali sahaja (sewaktu hari pertama sampai di Makkah). Untuk umrah kedua, ketiga dan keempat sepanjang anda di Makkah, anda sebenarnya boleh lakukan Badal Umrah (upah umrah) untuk si mati.
Badal Umrah ni ada niatnya yang tersendiri (perlu sebut nama si mati) dan si pelakunya akan turut sama mendapat pahala ibadah umrah seperti si mati.
Boleh buat untuk kaum keluarga yang sudah meninggal… lebih baik andai kita buatkan untuk mereka yang tidak ada keturunan (apabila si mati belum sempat berkahwin semasa hidupnya, belum sempat menjejakkan kaki ke tanah suci semasa hidupnya dan sudah tidak punya saudara-mara rapat yang boleh membuatkan upah umrah untuk dirinya).
20. Niat umrah perlu dilakukan di empat tempat miqat iaitu tempat yang berada di luar tanah haram termasuklah:-
- Bir Ali (Kalau bertolak dari Madinah)
- Hudaibiyyah
- Tanaem
- Ja’Ranah
Jika destinasi anda terus ke Makkah dari Malaysia, miqat (membaca niat ihram) perlu dilakukan dalam kapal terbang sebelum melepasi Yalamlam (pramugarai atau juruterbang akan mengumumkan sebaik sebelum melintasi di daerah Yalamlam). Sebab itu jemaah harus siap sedia mandi sunat ihram dan memakai pakaian ihram dari rumah andai Makkah merupakan destinasi pertama untuk ibadah Umrah.
(Boleh je nak niat sebelum lalu di atas Yalamlam tu tapi leceh lah nak jaga 13 larangan dalam ihram seperti tak boleh memakai wangian, perempuan tak boleh tutup bahagian muka dan tangan, tak boleh ada bulu-bulu atau rambut pada bahagian tubuh yang gugur dan lain-lain.) Kalau ada 13 larangantu yang anda langgar kena bayar denda dam.
Yang lelaki, jangan lupa tanggalkan seluar dalam siap-siap (kerana barangkali ada yang tak selesa untuk ke lapangan terbang dan berada dalam kapal terbang tanpa seluar dalam) takut niat ihram dan miqat terbatal jika lupa, lepas tu kena bayar dam sebagai denda. But whatever it is, dam adalah denda yang membolehkan si pelakunya mendapat pahala tau? Jadi, kalau korang TERbuat salah, dan TERkena bayar dam. It is not a bad thing pun. Itu bonus pahala.
21. Akhir sekali, jangan ada yang lupa untuk buat tawaf wada sebelum meninggalkan kota Makkah. Jika anda perlu bertolak waktu pagi, boleh lakukan tawaf wada sebanyak 6 pusingan sewaktu selepas solat isya (sehari sebelum bertolak). Keesokan paginya selepas subuh, habiskan lagi satu pusingan tawaf wada tersebut. Tawaf wada adalah tawaf selamat tinggal dan selepas tawaf wada ini ada beberapa larangan yang perlu diikuti seperti:-
- Tak boleh balik untuk berehat-rehat dan bersenang-lenang di hotel (kena ambil beg dan terus bertolak untuk pergi airport!)
- Melengah-lengahkan masa untuk keluar daripada tanah haram serta-merta (jangan ada yang sibuk nak bergambar kenangan bagai, lepas tawaf wada terus kena balik okay?)
- Tak boleh buat solat sunat di masjid seperti solat hajat dan sebagainya (hanya solat sunat tawaf dibenarkan)
- Sudah tidak boleh membeli-belah (beli makanan dan air dibolehkan)
- Sudah tidak boleh bersedekah
Kita sepatutnya perlu berasa sedih kerana sudah mahu meninggalkan tanah suci Makkah. Jika ada larangan tersebut tidak dipatuhi, atau ada diantara anda yang terlupa untuk melengkapkan tawaf wada ini, ibadah umrah anda akan jadi tidak sah serta-merta kerana ianya WAJIB.
Tawaf wada tidak memerlukan lelaki memakai kain ihram. Boleh pakai pakaian biasa asalkan suci daripada hadas, berwuduk dan membaca niatnya.
Selamat menunaikan ibadah seterusnya mendapat Umrah yang maqbullah hendaknya! ❤️