Sebagai pertandingan realiti, kejutan sering berlaku tanpa diduga. Sama seperti pertandingan ratu cantik, tahun demi tahun ada sahaja kejutan yang berlaku dalam arena itu sehingga mendapat pelbagai reaksi daripada pihak di seluruh dunia.
Baru-baru ini, gadis yang bakal mewakili negara Belgium ke peringkat antarabangsa untuk kejuaraan ratu cantik Miss Universe 2018 mendapat kecaman daripada komuniti setempat negaranya kerana berdarah Filipina dan bukannya asli merupakan gadis Eropah.
Khabarnya, Angeline Flor Pua adalah berketurunan Filipina kerana ibu dan bapanya adalah berdarah Filipina tetapi kemudian menetap di Borgerhout daerah Antwerp, Belgium. Di situlah Angeline dibesarkan bahkan merupakan seorang graduan juruterbang.
Menurut Angeline, “Selama lapan bulan saya bersusah-payah untuk mendapatkan gelaran Miss Belgium. Sebelum menyertai pertandingan ratu cantik ini, kami perlu disaring secara berperingkat menerusi pertandingan ratu cantik daerah. Saya mewakili daerah Antwerp menyaingi 35 calon yang lain. Dari situ, saya memenangi gelaran Miss Antewerp dan mengumpul undi yang tinggi melalui pemilihan orang ramai”.
Angeline juga menjelaskan betapa susahnya untuk dia mengumpul undi tersebut dan bukannya senang untuk mengambil hati semua orang. “Anda perlu menjadi ringan mulut untuk beramah dengan orang lain biarpun anda tidak mengenali mereka supaya mereka percaya dengan kredibiliti anda sebagai calon yang layak menang”, tambahnya.
Tonton Video Pengenalan Angeline Flor Pua
Bagi anak gadis berusia 22 ini, biarpun banyak kritikan negatif daripada masyarakat Belgium yang diterima dan meskipun ia adalah tidak adil untuknya dicemuh dan dicaci, dia tetap akan terus cuba membanggakan negara yang diwakilinya.
“Saya dilahirkan di Belgium dan saya merupakan warganegara Belgium yang sah biarpun kedua ibu bapa saya berdarah Filipina. Mereka bertemu di Belgium dan berkahwin di sini. Jadi tidak salah andainya saya dipilih sebagai wakil Miss Universe untuk mewakili Belgium ke peringkat antarabangsa”, luah Angeline.
Janji bakal juruterbang muda ini, biarpun dia harus berdepan dengan wakil dari Filipina nanti, dia tidak akan sekali-kali bersikap kebudak-budakan dan menganggap ia sebagai adat pertandingan. “Kami pasti akan menyokong satu sama lain,” ujarnya.