Walaupun anda terhibur dengan lakonan bersahajanya sebagai Chirrut Îmwe dalam ‘Rogue One: A Star Wars Story. Tetapi siapa sangka ada kisah negatif terhadap watak yang diberikan kepada pelakon aksi Hong Kong Donnie Yen itu.
Dikenali menerusi trilogi Ip Man, aktor itu menjelaskan Îmwe tidak ada bezanya dengan watak lain yang diberikan Hollywood kepadanya, dengan kata lain, stereotaip.
“Apabila saya menerima watak dalam Rogue One, saya rasa penting untuk saya mengembangkan watak berkenaan supaya kurang klise.
Saya tahu mereka mahukan Donnie Yen kerana dia adalah Ip Man. Mereka mahu Ip Man dalam Rogue One. Saya faham, tapi saya tidak mahu melakonkan watak tipikal, jaguh seni bela diri Cina,” dedah Donnie kepada majalah Prestige.
Jelas pelakon berusia 54 tahun ini, dia membuat keputusan untuk berbincang dengan penerbit bagi menambah lebih jiwa dalam watak Îmwe dan hasilnya dapat dilihat dalam naskhah akhir filem itu.
“Jika anda fikir watak Îmwe itu klise, anda perlu lihat skrip asal yang diberikan kepada saya. Itu sebab mengapa saya agak keberatan untuk menerima peranan itu,” tambah Donnie.
Bagi Donnie, dia sudah muak dengan layanan Hollywood terhadap pelakon Asia. Mereka sering diberi watak kecil yang kadang kala tidak beri kesan langsung kepada jalan cerita semata-mata bagi memancing penonton Asia.
Selain Donnie, Rogue One turut menampilkan tiga pelakon aksi Indonesia Iko Uwais, Yayan Ruhiyan dan Cecep Arif Rahman namun sekadar watak kecil dengan dialog ringkas.
Rasanya isu perkauman ini memang tidak akan surut. Lihat sahaja apa yang berlaku pada jenama jalanan H&M. Anda boleh baca – The Weeknd Bengang H&M Perguna Model Kanak-Kanak Kulit Hitam Gayakan Baju “Coolest Monkey In The Jungle”