Ramai wanita cuba untuk fahami hati lelaki tetapi gagal berbuat demikian. Setiap lelaki mempunyai corak pemikiran dan cara mereka meluahkan perasan yang berbeza. Ada daripada mereka mahukan pasangan mengetahui apa yang mereka fikirkan dan ada juga yang sebaliknya.
Jadi, mana satu yang sepatutnya? Tapi ini antara 10 rahsia lelaki mahu wanita tahu.
Lelaki tidak meluahkan perasaan secara terang-terangan
Ramai lelaki dianggap misteri kerana sifat mereka yang suka sembunyikan perasaan. Hanya segelintir lelaki yang mahu dan selalu meluahkan perasaannya secara terang-terangan. Ada juga yang memerlukan masa dan suasana yang sesuai untuk meluahkan perasaan. Jadi, kalau anda nak tahu perasaan si dia, pilihlah masa yang sesuai atau waktu dia berada dalam mood yang baik. Mungkin anda akan dapat jawapan yang anda inginkan.
Ucap ‘ I Love You’ melalui perbuatan
Anda perlu tahu bahawa bukan mudah sebenarnya bagi seorang lelaki nak ucapkan kata-kata cinta. Luaran memang nampak macho dan ganas, tetapi jauh dalam hati lelaki ada lembut dan halusnya. Lelaki lebih selesa luahkan perasaan melalui perbuatan bukan perkataan. Bagi mereka perbuatan itu lebih bermakna daripada perkataan.
Lelaki lebih serius dalam perhubungan
Mungkin wanita tidak setuju dengan fakta ini, tapi itulah hakikatnya. Jika nak dibandingkan dengan wanita, lelaki lebih serius dalam perhubungan, lagi-lagi mengenai perkahwinan. Jika dia benar ikhlas dengan anda, masa yang anda nantikan akan tiba juga satu hari nanti. Mungkin dia masih belum menyatakan apa-apa mengenai perkahwinan dan cuma bagi hint kerana masih mengumpul duit dan keperluan lain untuk membina sebuah keluarga.
Lelaki suka berkongsi hobi dengan kekasihnya
Berkongsi hobi dengan pasangan sebenarnya sesuatu yang sangat sweet. Selain itu, berkongsi hobi sangat membantu dalam sesuatu hubungan. Ia membuatkan diri kita berasa lebih dekat dengannya.
Lelaki perlukan ruang dan masanya sendiri
Lelaki mana yang suka dikongkong? Seperti yang kita tahu, lelaki bukanlah kumpulan individu yang suka dikongkong. Mereka akan rasa tercabar apatah lagi bosan. Tidak kiralah yang sudah berkahwin atau masih bujang, mereka perlukan masa dan ruang sendiri. Janganlah terlalu mengkongkong si dia, benarkan si dia bersosial dan melakukan aktiviti kegemarannya. Anda cuma perlu percaya padanya dan segalanya mungkin akan baik sahaja.
Lelaki tidak suka ingat perkara negatif
Wanita selalu simpan dan kenangkan perkara negatif yang sudah berlaku tapi bagi lelaki pula sebaliknya. Lelaki cukup tidak suka pendam dan ungkit perkara negatif yang telah berlaku. Mereka lebih memilih untuk lupakan apa yang telah terjadi dan teruskan kehidupan seperti biasa. Tapi jangan pula anda ambil kesempatan atas sifat positifnya itu.
Lelaki suka dirinya dihargai
Ada ke manusia di dunia ini tak suka dihargai? Kalau ada, DUSTA namanya! Lelaki yang dihargai atas sesuatu yang mereka lakukan, akan menjadi lebih romantis. Ini merupakan satu dorongan bagi mereka untuk menjadi orang lebih baik.
Lelaki dan seks memang tidak boleh dipisahkan
Adalah normal bagi lelaki yang berumur 60 tahun ke bawah memikirkan tentang seks sekurang-kurangnya sekali sehari. Mereka memikirkan seks dua kali ganda kerapnya daripada kaum wanita. Perkara ini memang tak boleh diubah kerana ianya sudah menjadi lumrah alam dan bukanlah sesuatu yang luar biasa.
Lelaki tidak faham isyarat halus (reaksi yang ditunjukkan melalui ton suara atau air muka)
Kadangkala, wanita perlu faham bukan semua lelaki faham akan isyarat halus seperti reaksi muka, perbuatan dan intonasi suara. Mereka mungkin tidak faham dan tidak dapat tangkap apa yang wanita maksudkan dari isyarat halus. Mereka mungkin nampak seperti orang yang tiada perasaan, tetapi wahai kaum wanita, janganlah pula anda fikirkan mereka tidak sensitif! Terus terangkan lebih mudah.
Lelaki mungkin menipu sebab terlalu dikongkong
Segelintir lelaki yang selalu menipu pasangannya kerana mungkin mereka tak dapat apa yang mereka inginkan, seperti ruang dan masa sendiri atau terlalu dikongkong. Jadi untuk elakkan itu daripada berlaku, apa kata anda cuba fahami kehendaknya. Dalam perhubungan, kalau masing-masing tak mahu bertolak ansur memang akan diakhiri dengan perpisahanlah jawabnya.
Dah jelas? Jadi selepas ini cuba fahami pasangan anda dan jangan sesekali main serkap jarang.