Bila masuk tahun baru, topik paling kerap diperkatakan ialah azam. Azam boleh disebut sebagai tujuan atau misi utama untuk diselesaikan dalam masa 365 hari. Namun untuk melaksanakan azam tersebut bukan semua orang mampu buat bila ia melibatkan emosi, mental dan fizikal yang perlu ditanggung selama setahun. Mampu ke untuk kekal konsisten?
Begitulah yang terjadi bila sampai dipertengahan tahun ada yang sudah lupa apa azam mereka. Tahun ini cuba untuk tetapkan hati dan jiwa untuk meneruskan azam, lagikan mereka yang berkobar-kobar ingin jadi cantik.
Khas untuk anda yang berazam untuk tampil cantik bermula tahun 2018, Wanista sediakan bingkisan istimewa rutin cantik untuk anda mula dan hentikan mula 1 Januari nanti.
Henti: Tidur dengan mekap.
Mula: Bersihkan mekap sejurus sampai rumah.
Ramai sangat yang ingin tampak cantik tapi dengan mekap. Anda lupa, cantik ialah bermula dengan kecantikan asli anda. Kulit yang bersih, segar dan tanpa cela barulah cantik. Sikap pemalas untuk menanggalkan mekap boleh membawa kondisi kulit yang bermasalah.
Henti: Tidak manjakan kulit.
Mula: Ikuti penjagaan kulit.
Jangan tanya kenapa tahun-tahun sebelum ini kulit anda tampak kusam dan tidak bermaya. Ini kerana sikap malas dan ambil mudah tentang penjagaan wajah. Tahun ini naikkan seri anda dengan tiga langkah tetap dengan membersih, menyegar dan melembab dah cukup!
Henti: Tidur lewat.
Mula: Jaga waktu tidur.
Otak cerdas dan badan cergas dimulakan dengan waktu tidur yang ideal secukupnya 8 hingga 9 jam. Ia bukan sahaja dapat merehatkan keseluruhan tubuh tapi amat bagus untuk mengelakkan muka dan mata sembab.
Henti: Berlapar.
Mula: Diet yang seimbang.
Cukup-cukuplah dengan diet berlapar anda itu memang langsung tidak membantu malah lagi memburukkan stamina dan kondisi badan. Atur rancangan pemakanan yang seimbang, seeloknya banyakkan pengambilan sayur dan buah-buahan. Tahun ini juga pastikan anda minum air kosong lebih banyak dari biasa.
Macam mana? Sudi tak nak cabar diri anda untuk tampil cantik, cerdas dan cergas untuk tahun hadapan. Semuanya bermula dari diri anda bukan orang lain.