Review - Filem

[Review Filem] Victoria & Abdul: Kisah Benar Persahabatan Dua Darjat Yang Tidak Direstui

Afiqah Syamin
/
Bukan hipster atau hijabista, cuma seorang gadis yang cintakan tradisi, bersifat feminin dan amat menghargai setiap bait lirik dalam lagu dan muzik ciptaan Coldplay. Fesyen? Sangat obses dengan karya rekaan Teuta Matoshi Duriqi, Oscar de la Renta dan Dolce & Gabbana ❤️
[Review Filem] Victoria & Abdul: Kisah Benar Persahabatan Dua Darjat Yang Tidak Direstui

Jika anda seorang pencinta sastera, penulis dengan lapang dada mahu menyarankan filem drama komedi biografi yang berdasarkan kisah benar antara seorang pemerintah Britain yang disegani suatu ketika dahulu dengan seorang kuli dari India lakonan pemenang Academy Awards, Judi Dench dan Ali Fazal.

IKLAN

Tersirat dengan 1001 macam perasaan, filem ini adalah filem sejarah paling santai yang penulis pernah tonton.

Sumber: Pinterest

“I am cantankerous, greedy, fat. I am perhaps, disagreeably, attached to power. But I am anything but insane.” – Queen Victoria

Saat pertama kali melihat trailer “Victoria & Abdul” penulis rasakan bahawa filem ini pasti membosankan kerana ia berlatarkan sejarah kehidupan seorang Permaisuri Britain bernama Alexandrina Victoria yang memerintah selama 68 tahun dari 1819 hingga 1901 namun, ternyata telahan penulis meleset apabila ada suatu aura yang menusuk jiwa hingga buat air mata penulis menitis di pengakhiran ceritanya.

Sumber: Youtube

Kehidupan Victoria digambarkan seorang yang membosankan dan menyedihkan sehinggalah kehadiran insan istimewa yang pada mulanya hanyalah orang suruhan tetapi diangkat menjadi sahabat paling sejati kerana berjaya mengubah persepsinya untuk terus berkhidmat sebagai pemimpin yang berwibawa.

Sumber: outinperth.com

Berkisarkan seorang kerani penjara beragama Islam di Agra, Abdul Karim, yang kemudian dipilih untuk mengembara ke England bagi menyertai satu lawatan rasmi meraikan sambutan Jubli Emas permaisuri Victoria sekitar 1887. Abdul bersama rakannya, Mohammed Buksh dipertanggungjawab untuk mempersembahkan mohor berupa syiling emas sebagai tanda keluhuran India yang diperintah England waktu itu.

Suumber: themarysue.com

Hari demi hari sejak kehadirannya… sebagai orang suruhan di istana yang berdedikasi dan bijak, ia lantas membuatkan Victoria terbuka hati untuk ‘menyayanginya’ sebagai seorang sahabat.

“I never been this happy in years” – Queen Victoria

Hidup Victoria berubah menjadi semakin ceria ditemani Abdul. Baik ke mana pun beliau pergi, Abdul adalah keutamaanya sehingga membuatkan keadaan monarki kacau-bilau dan sejak itulah, seisi penghuni istana termasuk Perdana Menteri dan anaknya bernama Bertie, seorang pewaris takhta yang pentingkan diri dan obses untuk menggulingkan ibunya demi mendapatkan kuasa pemerintah.

Foto sebenar Abdul Karim ketika sudah diangkat menjadi pengiring rasmi Queen Victoria. Sumber: Pinterest

Filem ini mengujakan kerana kita semua tahu yang ia adalah adaptasi kisah benar antara seorang yang berdarjat dengan individu bawahan. Lebih menarik apabila ia diselit dengan elemen komedi yang buat penonton tak kering gusi ketawa melihat reaksi golongan bawahan India yang baru hendak membiasakan diri di bumi orang. 

Potret asli Abdul Karim bersama rakannya Mohammad Buksh sewaktu bertugas di Englad sebagai orang suruhan istana. Sumber: Pinterest

Filem ini juga menggambarkan betapa cekalnya hati seorang pemerintah biarpun selalu dibenci namun masih mampu berdiri untuk menegakkan keadilan. Penonton dibawa berlayar menerusi plot yang realistik… menyelami hati dan jiwa seorang permaisuri yang hidupnya seolah tidak bernyawa. Bergelumang dengan kesunyian dan kesedihan sehingga memakan diri seraya memaksa dirinya untuk mengemis kasih sayang serta perlindungan daripada ‘orang suruhan’. Bagi Victoria, hanya Abdul yang ikhlas memahami dirinya.

IKLAN
Salah satu babak dalam “Victoria & Abdul” saat mula-mula Queen Victoria mengenali Abdul. Sumber: Youtube

Karakter Abdul yang berpengetahuan kemudian menarik minat Victoria untuk mendalami ilmu Al-Quran serta mempelajari tulisan Urdu (Jawi India) kerana dia benar-benar sudah jatuh cinta dengan bumi India selepas Abdul sering bercerita dengannya mengenai kehebatan Taj Mahal serta kecantikan negaranya. Victoria sendiri memanggil Abdul sebagai “Munsyi” (bermaksud Guru Bahasa).

Babak Abdul mengajarkan tulisan Urdu kepada Queen Victoria. Sumber: Pinterest

Apakah Victoria mencintai Abdul? Hubungan mereka tidaklah melebihi sebagai seorang sahabat malah ketika Victoria sedang tenat, beliau sempat menggelar Abdul sebagai “My Son”. Hal itu tidak dapat menafikan betapa sayangnya beliau kepada Abdul dan Abdul juga pernah menyatakan bahawa Victoria adalah antara orang paling penting dalam hidupnya melebihi isterinya sendiri.

Segala surat dan barang-barang pemberian Victoria kepada Abdul sudah dibakar sebaik anaknya mengambil alih kuasa pemerintah. Abdul kemudian dihalau balik ke India dan dia mati lapan tahun kemudian sekitar 1909. Yang tinggal hanya diari milik Abdul yang baru ditemui pada 2010 lalu… menjadi bukti kepada kehebatan kisah persahabatan si permaisuri dengan orang suruhannya.
Diari Abdul Karim yang ditemui pada tahun 2010. Sumber: Pinterest
Sumber: Pinterest
Foto Queen Victoria yang terselit di dalam diari milik Abdul. Sumber: Pinterest

Menurut penulis, “Victoria & Abdul” berjaya meninggalkan kesan mendalam buat para penonton tentang tanggungjawab, cinta persahabatan serta prinsip ketaatan kepada pemimpin. Penulis beri ⭐️⭐️⭐️? (tiga setengah) bintang!

Tonton Trailer Filem “Victoria & Abdul”